
TEMERLOH – Kerajaan negeri akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan bagi membendung penerokaan haram dan memulihara Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera yang diceroboh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya yang diamanahkan rakyat menjaga kedaulatan negeri tidak akan sesekali berkompromi dengan penerokaan haram di negeri ini termasuk di Ramsar Tasik Bera.
“Sebab itu kita ambil tindakan apabila ada penerokaan haram. Tindakan penguatkuasaan dilakukan tanpa mengira siapa pun, kita akan ambil tindakan sekiranya mereka mengerjakan tanah haram.
“Tindakan akan berterusan sebab ini dasar kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Dewan terbuka Kampung Sempadan dan Kenduri Sekampung di sini semalam.
Kosmo! baru-baru ini mendedahkan Tapak Ramsar Tasik Bera yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Pencerobohan itu dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan mereka melalui isu tanah adat dan juga kawasan rayau etnik bagi membuka tanah secara haram.
Dakwaan mengatakan penanaman berlaku di hampir seluruh kawasan Ramsar pertama negara itu, dengan kurang daripada separuh kawasan hutannya yang masih bertahan.
Ketika mengulas mengenai risiko teguran daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Wan Rosdy berkata, pihaknya bertindak proaktif melakukan tindakan segera menangani pencerobohan haram itu setelah mengetahui mengenai perkara tersebut.
Katanya, penerokaan haram di kawasan berkenaan akan dibendung dan kerajaan negeri akan terus memulihara Tasik Bera.
“Sebab itu kita ambil tindakan kalau kita biarkan sudah pasti UNESCO akan buat teguran tetapi apabila kerajaan negeri dapat tahu kerajaan negeri ambil tindakan saya fikir perkara ini akan dipertimbangkan,” katanya.
Tambahnya, usaha membendung penerokaan haram dan aktiviti perlombongan haram termasuk mineral akan diteruskan di seluruh negeri demi menjaga kepentingan rakyat.
The post Ceroboh Ramsar ibarat cabar kerajaan negeri appeared first on Kosmo Online.






