IPOH – Golongan pencipta kandungan dan pempengaruh di negeri ini berpeluang mendapatkan suntikan dana bagi mengembangkan bakat serta projek kreatif masing-masing menerusi Dana Kreatif Perak yang disediakan kerajaan negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, dana berjumlah RM300,000 itu dibuka kepada anak Perak yang mempunyai minat, kemahiran dan asas kukuh dalam bidang kreatif termasuk penghasilan kandungan digital.
Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk membantu penggiat seni dan pencipta kandungan mengembangkan lagi potensi mereka ke peringkat lebih tinggi.
"Dana ini terbuka kepada penggiat industri kreatif. Kita buka berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu seperti elemen hiburan, elemen muzik, cetakan dan sebagainya.
"Kita pula ada satu panel yang akan memilih siapa yang layak. Kita tak boleh beri semua sebab dana agak terhad. Cuma RM300,000 saja kerajaan negeri salurkan. Tetapi Perak saja yang ada buat dana kreatif ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kem Belia Kreatif 2026: Seni Digital di Casuarina@Meru di sini pada Ahad.
Khairudin berkata, pada tahun lalu hampir 300 permohonan diterima bagi mendapatkan Dana Kreatif Perak namun hanya calon yang memenuhi syarat dan menunjukkan potensi tinggi dipilih.
Katanya, jumlah bantuan pula diberikan berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan serta hasil sesi temu duga bersama panel penilai.
"Saya lihat apabila kita beri dana ini, memang ada penerima yang mampu melonjakkan perkembangan seni mereka, khususnya dalam bidang hiburan, perfileman dan teater.
"Ini menunjukkan bantuan seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada penggiat kreatif untuk bergerak lebih jauh,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara syarat utama permohonan ialah pemohon perlu mempunyai asas atau rekod awal dalam bidang diceburi selain menunjukkan kesungguhan dan perancangan jelas terhadap projek yang ingin dilaksanakan.
Menurutnya, Perak setakat ini menjadi antara negeri terawal menyediakan dana khas seumpama itu sebagai sokongan kepada ekosistem industri kreatif tempatan selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk memperkasa pembangunan modal insan berteraskan bakat dan kreativiti.
TAMAT



