IPOH - Sebanyak 323 cadangan kajian dan penyelidikan daripada golongan pemikir, ahli akademik dan profesional diterima bagi membantu memperkukuh pembangunan dasar kerajaan negeri di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut membuktikan negeri ini tidak ketandusan idea dalam memastikan Perak bergerak ke arah yang tepat dengan sasaran pembangunan yang jelas dan tidak tersasar daripada keperluan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu setiap dasar yang dirangka tidak dibuat berdasarkan andaian semata-mata, sebaliknya disokong oleh fakta serta penyelidikan yang diuji melalui realiti di lapangan.
"Selama ini penyelidikan sering dilihat sebagai sesuatu yang jauh dairpada pentadbiran. Seolah-olah ia hanya berlegar dalam bilik seminar dan jurnal akademik. Pandangan sebegini wajar kita ubah.
"Kerana hakikatnya, ia mesti turun dan berada di lapangan, menyentuh kehidupan rakyat dan akhirnya memandu keputusan yang kita ambil," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Polisi dan Kajian Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casurina@Meru di sini pada Khamis.
Persidangan anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) yang dihadiri 400 peserta itu menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Perak.
Bertemakan 'Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina', persidangan tersebut menampilkan sesi dialog, pembentangan poster penyelidikan dan pembentangan penyelidikan yang menyentuh aspek pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, kejayaan sesuatu dasar kerajaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, sebaliknya perlu dilihat melalui kesan sebenar yang dirasai rakyat.
Justeru katanya, sebagai pembuat dan pelaksana dasar, kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk merapatkan jurang antara 'dunia angka' dan 'dunia rasa' supaya setiap dasar yang dirangka benar-benar memberi manfaat.
"Bagi rakyat, sejahtera itu ialah rasa selamat, dihargai dan tidak dipinggirkan.
"Mereka mahu tahu ke mana hendak mengadu, tidak terbeban mendapatkan rawatan, rasa dilindungi ketika bekerja serta mampu menjalani kehidupan dengan bermaruah," katanya.





