KUALA LUMPUR – Insiden penculikan seorang lelaki warga Korea yang diselamatkan polis pada 21 April lalu membongkar identiti sebenar mangsa apabila didapati merupakan individu dikehendaki di negara asalnya.
Mangsa berusia 40 tahun itu yang berada di negara ini sejak 2016 lalu dipercayai dikurung, diikat, dipukul serta diugut menggunakan objek menyerupai pistol selepas diculik pada 17 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa diculik ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur.
"Ketika kejadian, mangsa yang bersendirian diekori sebuah kenderaan sebelum dipintas suspek.
"Mangsa ditarik keluar dari kenderaan, dipukul, diikat dan dimasukkan ke dalam kenderaan suspek sebelum dibawa ke lokasi tidak diketahui," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Jumaat.
Beliau berkata, polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu masing-masing daripada rakan mangsa serta seorang wanita yang mengaku sebagai isterinya.
"Siasatan awal dijalankan oleh Kontinjen Pahang sebelum Bukit Aman mengambil alih pemantauan serta membantu siasatan lanjut.
"Satu pasukan petugas khas ditubuhkan melibatkan JSJ Kontinjen Pahang, Melaka serta Bukit Aman termasuk bahagian kongsi gelap, judi dan maksiat (D7), operasi khas (D8) dan jenayah berat (D9)," katanya.
Katanya, hasil risikan, pasukan berjaya mengesan lokasi mangsa sebelum melancarkan serbuan di sebuah rumah di Melaka.
"Mangsa berjaya diselamatkan manakala tiga suspek lelaki warga Korea berumur antara 28 hingga 40 tahun ditahan.
"Sepanjang tempoh dikurung, mangsa diikat, dipukul dan diugut menggunakan objek menyerupai pistol," katanya.
Menurutnya, suspek turut menghubungi rakan mangsa dan menuntut wang tebusan kira-kira RM39.6 juta (10 juta USDT) melalui akaun kripto.
Tambahnya, bagaimanapun, sebanyak RM11.9 juta (3 juta USDT) telah dimasukkan ke dalam akaun berkenaan sebelum wang itu dipindahkan ke beberapa akaun lain bagi mengelak dikesan.
"Dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, sebanyak kira-kira RM11.45 juta (2.46 juta USDT) berjaya dikesan dan dibekukan melibatkan tiga akaun.
"Pembekuan itu berkuat kuasa selama sembilan bulan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.
M.Kumar berkata, beberapa barangan termasuk pistol tiruan, tali dan pita pelekat yang digunakan untuk menutup mulut mangsa serta kenderaan mangsa turut dirampas selain semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas sebuah syarikat yang tidak lagi aktif.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 April bagi membantu siasatan.
"Semakan mendapati dua suspek masuk ke negara ini pada Mac lalu menggunakan pas lawatan sosial yang sah sehingga Jun, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod kemasukan," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan bersama Kedutaan Korea mendapati mangsa sebenarnya merupakan individu dikehendaki di negara asalnya.
"Pasport mangsa telah dibatalkan dan notis merah Interpol turut dikeluarkan terhadapnya kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram serta jenayah terancang.
"Mangsa dipercayai telah berada di Malaysia sejak 2016 dan bergerak di beberapa lokasi sepanjang tempoh itu," katanya.
Ujarnya, mangsa tidak mengenali suspek dan setakat ini motif utama kejadian adalah untuk mendapatkan wang tebusan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
"Walaupun kes berkenaan melibatkan warga asing, polis tidak akan berkompromi dalam tindakan penguatkuasaan," katanya.
Tegasnya, pihak polis akan melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan dibuat termasuk kemungkinan menghantar mangsa pulang ke negara asal.






