Sindiket jual akaun WeChat, iCloud tumpas

LocalTechnology
13 Apr 2026 • 3:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara peralatan elektronik yang dirampas dalam serbuan dijalankan baru-baru ini. - Gambar kecil (Shazeli)

SHAH ALAM – Kegiatan sindiket menjual akaun WeChat dan iCloud untuk penipuan terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah di Kiara Plaza, Semenyih, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Menurutnya, hasil operasi itu, tiga lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 33 tahun berjaya ditahan.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan akaun WeChat dan akaun iCloud untuk tujuan penipuan.

“Mereka berperanan sebagai operator dengan mencipta akaun menggunakan identiti palsu sebelum dijual kepada sindiket penipuan yang menyasarkan pasaran China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Antara barangan dirampas ialah tiga komputer riba, satu monitor, satu CPU, empat telefon bimbit, dua modem, satu kad akses dan sebuah beg tangan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.

Shazeli berkata, siasatan awal mendapati bahawa sindiket berkenaan telah beroperasi sejak Oktober 2025.

“Mereka menawarkan penjualan akaun WeChat dan iCloud melalui platform Telegram sebelum dijual kepada sindiket penipuan luar negara,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved