Pendaftaran graduan luar negara tertakluk undang-undang profesional berkaitan

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 3:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pendaftaran graduan luar negara tertakluk undang-undang profesional berkaitan

PETALING JAYA – Graduan yang mengikuti program pengajian profesional di luar negara perlu menyemak dan memohon pendaftaran dengan badan profesional berkaitan bagi membolehkan mereka layak didaftarkan sebagai pengamal profesional negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, kuasa mendaftarkan graduan sebagai pengamal profesional sama ada dari dalam atau luar negara, tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang serta ketetapan badan profesional berkaitan.

Jelas beliau, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hanya bertanggungjawab melaksanakan jaminan kualiti terhadap program pengajian yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan termasuk program profesional yang dikawal selia badan profesional.

“Walau bagaimanapun, graduan yang mengikuti program pengajian di luar negara perlu menyemak dan memohon pendaftaran profesional kepada badan profesional berkaitan.

“Ini disebabkan terdapat keadaan tertentu yang mana seseorang graduan itu perlu memenuhi syarat tambahan seperti latihan klinikal, tempoh latihan amali, peperiksaan profesional atau penilaian kompetensi sebelum mereka layak didaftarkan sebagai pengamal profesional dalam negara kita,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai usaha kementerian memastikan penyelarasan lebih berkesan antara Kementerian Pendidikan Tinggi, agensi akreditasi dan badan profesional.

Jelas Norhasmimi, ia bagi mengelakkan percanggahan antara pengiktirafan akademik dengan keperluan pendaftaran profesional khususnya melibatkan pelajar yang mengikuti program profesional di luar negara.

Sementara itu tambah Adam Adli, penyelarasan bidang kuasa antara agensi akreditasi dan badan profesional di Malaysia adalah jelas untuk proses kawal selia jaminan kualiti program pengajian ditawarkan IPT tempatan termasuk yang tertakluk kepada keperluan badan profesional.

“Penilaian akreditasi dilaksanakan secara bersama antara MQA dan badan profesional berkaitan menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal bersama.

“Melalui penilaian itu, sekiranya program profesional tempatan telah mendapat akreditasi, ia dianggap mencapai standard yang diiktiraf badan profesional sekali gus membolehkan graduan berdaftar terus di bawah badan berkaitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Pendaftaran graduan luar negara tertakluk undang-undang profesional berkaitan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved