KPT pantau pelajar luar negara, elak isu akreditasi berulang

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 2:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPT pantau pelajar luar negara, elak isu akreditasi berulang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkukuh pemantauan terhadap pelajar Malaysia yang mengikuti program profesional di luar negara bagi memastikan isu pengiktirafan akreditasi dan kelayakan profesional tidak berulang.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi penyelarasan lebih berkesan antara badan profesional dalam negara, badan akreditasi serta badan profesional di luar negara melalui jaringan kerjasama sedia ada.

Katanya, langkah berkenaan bertujuan memastikan sebarang isu membabitkan graduan Malaysia di luar negara dapat ditangani secara lebih proaktif, komprehensif dan berkesan pada masa hadapan.

“Kita mempunyai rekod pelajar-pelajar yang berada di luar negara termasuk universiti yang mereka sedang ikuti pengajian. Melalui rekod itu, kita dapat memastikan mereka terus dipantau dari sudut akreditasi serta kualiti pendidikan yang diterima.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan masalah sama tidak berulang dengan sentiasa mengemas kini maklumat yang diterima daripada universiti berkenaan kepada badan-badan berkaitan di negara kita,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Norhasmimi Abdul Ghani sama ada kerajaan bersedia memperkenalkan mekanisme pemantauan terhadap semua program profesional di luar negara susulan isu Program Doktor Farmasi Universiti Alexandria, Mesir yang tidak diiktiraf kelayakan profesional di Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, isu membabitkan empat pelajar farmasi Universiti Alexandria itu berpunca daripada masalah teknikal susulan pertukaran nama program yang diikuti mereka di universiti berkenaan.

Katanya, masalah itu bukan berpunca daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana pengiktirafan terhadap program berkenaan masih kekal, sebaliknya berlaku apabila Universiti Alexandria tidak membuat pemakluman kepada badan profesional berkaitan di Malaysia.

“Pokok pangkal masalah tersebut adalah pertukaran, ia masalah teknikal kemudian berlaku pertukaran nama kepada program yang diikuti oleh mereka di Mesir.

“Masalah itu sebenarnya tidak berlaku di peringkat MQA kerana bagi kami pengiktirafan terhadap program itu terus berlaku. Isunya adalah apabila tiada pemakluman yang dibuat oleh Universiti Alexandria tersebut kepada badan profesional iaitu Lembaga Farmasi yang berada di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

The post KPT pantau pelajar luar negara, elak isu akreditasi berulang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved