KPT teliti cadangan perluas pengiktirafan kursus luar negara

28 Jul 2026 • 2:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPT teliti cadangan perluas pengiktirafan kursus luar negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia meneliti cadangan memperluaskan pengiktirafan kursus termasuk yang ditawarkan di luar negara selaras dengan standard antarabangsa sebagai usaha menambah baik sistem pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada MQA untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kaedah pengiktirafan kursus dan program yang ditawarkan di dalam serta luar negara.

“Saya terima yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebagai salah satu penambahbaikan terhadap cara kita untuk mengendalikan pengiktirafan dan juga cara kita mengiktiraf kursus-kursus yang ditawarkan.

“Tidak hanya terhad dalam negara tetapi juga di luar negara boleh diperluaskan selaras dengan standard antarabangsa juga. Ini kita akan sampaikan kepada MQA untuk kita lihat balik,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Prof. Dr. Noor Inayah Ya’akub yang meminta KPT menyatakan sama ada MQA akan mereformasikan sistem pengiktirafan dengan mengambil kira penyetaraan global yang diberikan badan profesional antarabangsa.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, setiap keputusan berkaitan pengiktirafan program akademik oleh MQA dibuat menerusi jawatankuasa teknikal bersama yang menghimpunkan hampir 20 majlis dan lembaga profesional dalam pelbagai bidang.

“Kita kalau buat masa sekarang, kita tentu sekali ada jawatankuasa teknikal bersama dengan hampir 20 majlis profesional termasuk perubatan, pergigian, optik, juruukur, perancang bandar dan sebagainya.

“Jadi sebenarnya setiap penilaian yang dibuat oleh MQA itu perlu berdasarkan kepada perbincangan di dalam jawatankuasa teknikal bersama,” katanya.

Katanya, pengiktirafan sesuatu kursus juga tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kerana setiap permohonan perlu memenuhi mekanisme dan standard yang ditetapkan sebelum diluluskan.

“Apa sekalipun keputusan dan juga standard yang ditetapkan oleh MQA itu sentiasa kita pastikan bahawa ia dibincangkan secara tuntas bersama dengan jawatankuasa teknikal bersama yang dianggotai dengan jawatankuasa ataupun lembaga-lembaga profesional dalam negara kita.

“Kalau tidak mendapat pengiktirafan, itu sebenarnya kita tidak akan mudahkanlah. Kita ada banyak mekanisme yang perlu kita penuhi sebelum kita boleh mengiktiraf sesuatu kursus, tapi kita tidak sampai ke tahap di mana kita menutup peluang ataupun kita tidak membuka ataupun kita tidak meneroka bidang-bidang di luar sana yang boleh dimanfaatkan,” katanya.-UTUSAN

The post KPT teliti cadangan perluas pengiktirafan kursus luar negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved