
TAPAH – Wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, difahamkan merupakan seorang pendaki yang cukup berpengalaman dalam aktiviti lasak dan pendakian gunung.
Suaminya, Haszman Othman, 61, berkata isterinya sudah lebih 10 tahun aktif mendaki dan sememangnya meminati aktiviti mencabar.
Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan, Jaslinda juga dijadualkan untuk kembali mendaki gunung berkenaan pada hujung bulan ini.
“Isteri saya memang aktif mendaki. Kalau ikut rekod Jabatan Perhutanan, dia akan mendaki gunung ini lagi pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh.
Difahamkan, Jaslinda yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta telah bertolak dari kediamannya di Damansara, Selangor pada Jumaat lalu bersama dua rakannya bagi menyertai aktiviti pendakian tersebut.
Netizen Titip Doa Dan Harapan
Sementara itu, menerusi perkongsian di Threads, ramai netizen turut menitipkan doa dan harapan agar mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.
Seorang individu berkata, pengalaman luas Jaslinda sebagai pendaki memberi keyakinan bahawa mangsa masih mampu bertahan di dalam hutan.
“Kalau ikut laporan, beliau bukan beginner. Berbekalkan pengalaman, asalkan tidak cedera, insya-Allah beliau boleh survive. Itu sebab beliau tinggalkan botol, jejak dan sampah sebagai tanda beliau masih hidup.
“Tak mungkin seorang pendaki membuang sampah merata-rata dalam hutan. Kita doakan sahaja beliau ditemui dengan selamat,” tulis individu tersebut.
Dalam pada itu, satu video yang dikongsikan oleh Komuniti Pendakian Malaysia turut meraih perhatian ramai apabila memaparkan situasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurut perkongsian tersebut, keadaan muka bumi di lokasi pencarian dikatakan sangat mencabar selain kawasan hutan yang tebal dan suhu yang sejuk menyukarkan usaha pasukan penyelamat.
“Setiap hari sabar menanti update kawan-kawan yang terlibat SAR. Bukan mudah untuk mangsa dan team SAR hadap bentuk muka bumi di kawasan ini.
“Sangat tebal dan sejuk hutan kawasan permatang atas ini. Semoga ada keajaiban seperti kes Maisarah di Gunung Tahan dahulu,” tulisnya.
Ruangan komen video itu turut dipenuhi kata-kata semangat buat Jaslinda.
“Kak Jas bertahan ye.”
“Semoga selamat kembali ke pangkuan keluarga.”
Operasi SAR Diteruskan
Perkembangan terkini hari ini menyaksikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuka satu ‘winching point’ atau titik pengangkatan udara baharu di Kem Salai Matahari bagi membantu operasi SAR yang masih diteruskan.
Memetik laporan Harian Metro, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pembukaan lokasi baharu itu bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk pasukan penyelamat kerana dua titik sedia ada di puncak Bukit Batu Putih dan Bukit Berapit 2 mengambil masa perjalanan yang agak jauh ke lokasi pencarian.
Menurut beliau, seramai 36 anggota daripada JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam operasi tersebut dengan fokus pencarian tertumpu di sekitar Gunung Batu Putih, Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
Operasi itu turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan serta Malim Gunung Perhutanan yang dilaporkan sudah bermalam di kawasan pencarian sejak beberapa hari lalu.
Sebelum ini, pencarian memfokuskan kawasan antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu susulan penemuan beberapa petunjuk dipercayai milik mangsa termasuk botol air, bungkusan makanan ringan serta kesan tapak kaki. – The Malaysian Update
The post Pendaki Berpengalaman Hilang Di Gunung Batu Putih, Operasi SAR Diperhebat appeared first on The Malaysian Update.
