
BALING – Seorang pendaki wanita cedera pada bahagian lutut kanan selepas terjatuh ketika berada di puncak Gunung Baling, di sini hari ini.
Mangsa mengalami kecederaan ligamen kolateral medial dan terpaksa diselamatkan pasukan bomba.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada pukul 12.42 tengah hari tadi.
Katanya, susulan panggilan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada pukul 12.48 tengah hari sebelum anggota meneruskan pendakian ke puncak untuk mendapatkan mangsa.
“Jarak perjalanan dari kaki gunung ke puncak dianggarkan sejauh 1,300 meter dengan tempoh pendakian kira-kira dua jam,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan dengan membawa mangsa turun dari puncak menggunakan pengusung ke tempat selamat. – KOSMO! ONLINE
The post Pendaki wanita cedera pada lutut, bomba usung turun Gunung Baling appeared first on Kosmo Digital.



