KUANTAN - Perjalanan pendakian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke puncak Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo diikuti rapat netizen apabila ramai turut 'mendaki' melalui video 'live' di Tiktok.
Antara video live momen pendakian Tengku Hassanal itu dikongsi porter Gunung Kinabalu, Jerry Junim melalui satu akaun Tiktok dengan hampir 13,000 tontonan.
Siaran langsung itu memperlihatkan sebahagian suasana sepanjang pendakian yang disertai Tengku Mahkota Pahang bersama pasukan termasuk para pendaki lain menuju puncak Kinabalu.
Selain itu, melalui bebeberapa video lain yang dikongsi di platform sama, baginda dilihat santai melayan sapaan pendaki sepanjang perjalanan mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu.
Dalam satu rakaman lain yang turut dikongsikan pengguna media sosial, Tengku Hassanal nampak bersemangat, gembira dan mengakui 'enjoy' dengan pendakian tersebut.
Keberangkatan baginda menyertai misi pendakian itu menerima respon positif netizen yang rata-ratanya teruja mengikuti perkembangan semasa perjalanan tersebut menerusi siaran langsung TikTok berkenaan.
Ruangan komen live turut dibanjiri pelbagai reaksi positif apabila ramai pengguna media sosial menyifatkan Tengku Hassanal sebagai seorang yang mesra dan bersahaja walaupun ketika menyertai aktiviti mencabar itu.
Selain itu, ramai juga pengguna TikTok dilihat aktif bertanya ingin tahu keadaan semasa pendakian baginda termasuk perkembangan perjalanan menuju ke puncak serta keadaan cuaca di kawasan gunung berkenaan.
Tengku Mahkota Pahang memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu pada Selasa sempena Ekspedisi Mahkota Borneo.
Baginda mengetuai rombongan pendakian disertai 56 peserta terdiri pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ekspedisi Mahkota Borneo mencerminkan semangat kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi yang sentiasa diterapkan oleh baginda dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.
Pendakian dijadualkan selama dua hari satu malam dan pendaki perlu bermalam di Panalaban sebelum menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara itu dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut.
