JARANG sekali institusi diraja di negara ini menzahirkan rasa tidak puas hati secara terbuka terhadap Kerajaan Persekutuan. Sebab itu titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, ketika Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Pahang baru-baru ini tidak boleh dipandang ringan.
Titah baginda bukan luahan emosi atau reaksi politik bersifat sementara, tetapi satu teguran berprinsip terhadap cara hubungan federalisme di negara ini yang semakin dilihat berat sebelah dan tidak menghormati semangat asal Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahawa Kerajaan Persekutuan wajib mengambil serius titah tersebut.
Mengulangi penegasan Dr. Wan Ahmad Fauzi: ”Titah ini perlu diambil serius oleh Putrajaya dan tidak wajar sama sekali dibalas secara sinis. Ini kerana prinsip federalisme menuntut agar tiada negeri dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.”
Ini kerana apa yang dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Pahang bukan soal kecil berkaitan lesen eksport pasir semata-mata, tetapi menyentuh isu yang jauh lebih besar iaitu soal keadilan layanan Kerajaan Pusat terhadap negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Tengku Mahkota Pahang menutup kenyataan media susulannya dengan rangkap pantun lama: "Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati." Pilihan pantun ini adalah peringatan tersirat bahawa Pahang, sebagai antara negeri terawal dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, mempunyai sejarah dan pengorbanan yang tidak boleh diperlekeh.
Pantun itu juga menjadi jawapan tegas kepada respons Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan peruntukan kepada Pahang "besar, bukan kecil" dan berjanji meminta Menteri Kewangan II menyediakan penjelasan bertulis. Jawapan yang lebih bersifat pentadbiran itu jelas tidak menyentuh inti pati tuntutan.
Pahang bukan negeri yang boleh diperlakukan seperti “pentadbiran bawahan” yang sekadar menunggu arahan daripada Putrajaya. Pahang ialah antara negeri teras yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan sejak sekian lama menanggung beban besar menjaga keseimbangan ekologi negara melalui kawasan hutan, sungai, tadahan air dan biodiversitinya. Namun malangnya, apabila negeri ini mahu menjana hasil melalui sumber sendiri, pelbagai sekatan dan birokrasi pula dikenakan sehingga menjejaskan ekonomi negeri.
Dalam isu eksport pasir Sungai Pahang, persoalan paling asas ialah soal konsistensi dan keadilan. Jika benar Kerajaan Persekutuan mahu menyekat eksport pasir atas alasan perlindungan alam sekitar atau dasar nasional, maka sekatan itu mesti dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua negeri tanpa pengecualian.
Tidak boleh berlaku keadaan di mana ada negeri lain diberikan kelulusan dan ruang eksport tetapi Pahang pula dikenakan sekatan tanpa penjelasan yang kukuh. Jika ini berlaku maka ia bukan sahaja menimbulkan persepsi layanan tidak adil, malah mencerminkan amalan federalisme yang semakin selektif dan berpilih.
Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggunakan kuasa perdagangan dan eksport di bawah bidang kuasa pusat sebagai instrumen untuk menyekat hak ekonomi negeri. Kuasa tersebut ialah amanah perlembagaan untuk memudah cara pembangunan negara, bukannya “veto politik” yang akhirnya merugikan negeri tertentu.
Jika Pahang disekat daripada memanfaatkan hasil pasirnya sendiri sedangkan negeri-negeri lain tidak menerima layanan yang sama, maka negeri ini berhak mempersoalkan di mana letaknya prinsip keadilan dalam sistem federalisme Malaysia.
Selain itu, alasan pencemaran alam sekitar juga sering dijadikan justifikasi umum tanpa dibuktikan secara menyeluruh dan saintifik. Kerajaan Persekutuan sepatutnya terlebih dahulu menjalankan kajian teknikal yang teliti sebelum membuat keputusan besar yang menjejaskan ekonomi negeri.
Apakah benar keseluruhan aktiviti perlombongan pasir di Sungai Pahang mencemarkan alam sekitar? Di bahagian mana pencemaran itu berlaku? Adakah semua kawasan sungai terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir atau hanya lokasi tertentu?
Soalan-soalan ini mesti dijawab secara profesional dan berasaskan data, bukannya melalui andaian umum. Tidak adil untuk terus menghukum keseluruhan industri dan menyekat ekonomi negeri hanya berdasarkan dakwaan yang belum dibuktikan secara menyeluruh.
Jika benar ada kelemahan dalam operasi perlombongan, maka penyelesaiannya ialah memperketat penguatkuasaan, memperbaiki sistem pemantauan dan menetapkan garis panduan lestari bukannya membekukan keseluruhan potensi ekonomi negeri.
Hakikatnya, isu pasir Sungai Pahang bukan semata-mata soal keuntungan komersial. Aktiviti pendalaman sungai juga berkait rapat dengan aspek keselamatan awam dan mitigasi banjir. Mendapan pasir yang berlebihan menyebabkan sungai menjadi cetek, mengganggu aliran air dan meningkatkan risiko banjir besar di Pekan serta kawasan sekitarnya.
Dalam keadaan seperti ini, kelewatan Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bukan sahaja merugikan hasil negeri, tetapi turut memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat.
Sesuatu yang mengecewakan tentunya kepada rakyat Pahang apabila sebuah negeri yang selama ini menyumbang kepada kestabilan ekologi negara akhirnya dilayan seolah-olah tidak mempunyai hak untuk menentukan masa depan ekonominya sendiri.
Pahang menjaga hutan, memelihara sungai dan menanggung pelbagai sekatan pembangunan atas nama kepentingan nasional, tetapi apabila negeri mahu memanfaatkan sumber sendiri secara sah dan terkawal, pelbagai halangan pula diwujudkan.
Inilah sebabnya titah Tengku Mahkota Pahang perlu difahami sebagai peringatan serius bahawa hubungan Persekutuan dan negeri tidak boleh terus bergerak dalam kerangka terlalu berpusat dan berat sebelah. Federalisme Malaysia tidak boleh hanya indah dalam teks Perlembagaan tetapi gagal diterjemahkan dalam amalan pentadbiran sebenar.
Justeru Kerajaan Persekutuan perlu segera mengubah pendekatan dengan menjadikan rundingan, kerjasama dan layanan saksama sebagai asas utama dalam hubungan dengan negeri-negeri. Jika sesuatu polisi mahu dilaksanakan, ia mesti jelas, telus, konsisten dan terpakai kepada semua negeri tanpa diskriminasi tersirat.
Jika ada kebimbangan terhadap alam sekitar, maka kajian saintifik menyeluruh mesti didahulukan sebelum keputusan dibuat. Jika ada kelemahan pengurusan, maka pembaikan sistem perlu menjadi keutamaan, bukannya menyekat hak ekonomi negeri secara berpanjangan.
Adalah salah untuk melihat titah ini sebagai isu terpencil Pahang semata-mata. Dalam tempoh hampir bersamaan, suara-suara serupa bergema dari negeri lain. Pada 30 April 2026, Tunku Mahkota Johor bertitah menggesa agar sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai yang dijana Johor dipulangkan kepada negeri.
Sebelum itu, Sultan Kedah bertitah bahawa pengorbanan negeri dalam mengekalkan kawasan padi dan hutan tadahan air wajar disusuli insentif kewangan RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan. Tiga suara. Tiga negeri. Satu mesej yang sama.
Pola ini mendedahkan masalah yang lebih besar, iaitu Malaysia, walaupun secara teorinya merupakan sebuah negara persekutuan, telah lama beroperasi sebagai sistem yang terlalu berpusat dari sudut fiskal. Hasil utama negara dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, manakala negeri banyak bergantung pada premium tanah, balak, pasir dan geran pusat.
Apabila Kerajaan Pusat pula mengetatkan perbelanjaan di bawah pendekatan berhemat MADANI, ruang fiskal negeri semakin sempit. Inilah yang menimbulkan persepsi semakin kuat bahawa negeri-negeri yang kaya sumber asli tetapi miskin hasil fiskal sebenar diperlakukan secara tidak adil.
Titah Tengku Mahkota Pahang, beserta titah Tunku Mahkota Johor dan Sultan Kedah, seharusnya dibaca dengan penuh kematangan. Ia adalah ingatan yang berasas bahawa federalisme Malaysia memerlukan pembaharuan struktural yang sebenar, bukan sekadar penjelasan bertulis melalui Menteri Kewangan II.
*** Muhammad Afifi Abdul Razak ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).






