KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu mencetuskan harapan baharu kepada seorang bekas anggota polis untuk mendapatkan keadilan berhubung dakwaan kekerasan yang dilaporkan berlaku sekitar 11 tahun lalu.
Peguam, Kamal Hisham Ja'afar yang mewakili bekas anggota itu berkata, tindakan membangkitkan semula laporan polis berkenaan bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan hak anak guamnya untuk mendapatkan keadilan tidak terabai.
Lebih-lebih lagi katanya, tiada had masa yang menghalang sesuatu kes jenayah daripada diteruskan, selain anak guamnya tidak pernah menarik balik laporan polis atau melepaskan hak di sisi undang-undang untuk meneruskan kes berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang lebih sedekad lalu, anak guam tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang keputusan hasil siasatan terhadap laporan polis itu.
"Selain itu, tiada sebarang tindakan sama ada pertuduhan di mahkamah mahupun tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd Shuhaily berhubung laporan polis tersebut selepas lebih sedekad berlalu.
"Bagaimanapun, timbul harapan untuk mendapatkan keadilan apabila beliau telah dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada lalu," katanya dalam kenyataan media bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab persoalan peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali berhubung tindakan membangkitkan dakwaan berkenaan selepas lebih 10 tahun.
Pada Rabu lalu, Muhammad Rafique mempersoalkan faktor utama jenayah kekerasan yang kononnya berlaku ketika Mohd Shuhaily bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 2015, hanya dibangkitkan sekarang.
Beliau turut mempersoalkan sebab laporan berkenaan hanya mendapat perhatian selepas isu membabitkan anak guamnya menjadi perhatian ramai.
Muhammad Rafique juga membangkitkan kemungkinan perkembangan terbaharu itu bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap Mohd Shuhaily yang menurutnya mendapat sokongan masyarakat kerana ketegasan dan disiplin ketika menjalankan tugas.
Mengulas lanjut, Kamal Hisham menegaskan, pendirian anak guamnya dibuat semata-mata untuk mendapatkan keadilan tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.
Katanya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Peguam Negara Malaysia untuk membuat apa juga keputusan yang dianggap adil dan saksama.






