
PETALING JAYA – Tiada had masa yang menghalang sesuatu kes jenayah daripada diteruskan meskipun laporan polis berkaitan dibuat lebih sedekad lalu.
Itu penjelasan Tetuan Kamal Hisham & Associates berhubung persoalan mengapa laporan polis terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain pada 2015 baru dibangkitkan semula ketika ini.
Menerusi kenyataan media hari ini, peguam Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, harapan anak guam mereka untuk mendapatkan keadilan timbul semula selepas Mohd. Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu.
“Tiada had masa yang menghalang untuk suatu kes jenayah diteruskan.
“Timbul harapan untuk mendapatkan keadilan apabila Datuk Seri Shuhaily telah dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada tarikh 21 Oktober 2026. Sebelum tarikh itu, beliau digambarkan sebagai seorang yang ‘garang’ dan ‘berkuasa’,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak anak guam mereka juga mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang keputusan siasatan berhubung laporan polis tersebut selepas lebih sedekad.
Mereka mendakwa sepanjang tempoh berkenaan, tiada pertuduhan di mahkamah atau tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd. Shuhaily berkaitan laporan polis terbabit.
“Pendirian pihak anak guam kami ini adalah semata-mata demi mendapatkan keadilan tanpa sebarang niat jahat ke atas mana-mana pihak.
“Pihak anak guam kami tidak pernah pada bila-bila masa membuat penarikan balik laporan atau melepaskan haknya di sisi undang-undang untuk meneruskan kes tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Peguam Negara untuk membuat sebarang keputusan yang difikirkan adil dan saksama.
Terdahulu, media melaporkan seorang bekas anggota polis mendakwa pernah dikasari Mohd. Shuhaily kira-kira 11 tahun lalu ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Peguam yang mewakili bekas anggota terbabit sebelum ini memohon Peguam Negara menyemak semula laporan polis yang dibuat di Teluk Intan, Perak pada 19 November 2015 berhubung dakwaan tersebut.
Menurut pihak peguam, tiada tindakan diambil terhadap Mohd. Shuhaily berkaitan laporan berkenaan sehingga kini, manakala pengadu yang ketika itu masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa berdepan pelbagai cabaran dalam perkhidmatan sebelum akhirnya diberhentikan.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd. Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Beliau didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA antara pukul 1.27 hingga 1.35 tengah hari.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Mohd. Shuhaily diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada had masa kes jenayah, peguam jawab isu laporan polis Mohd. Shuhaily 2015 appeared first on Kosmo Online.






