
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan (DAA) bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib untuk tidak meneruskan kes ini dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” kata Hakim Noor Ruwena.
Satu pertuduhan lepas dan dibebaskan itu ialah Muhyiddin , 79, sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu daripada sebuah entiti.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara tiga lagi pertuduhan lepas dan bebas itu ialah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada entiti sama yang dimasukkan ke akaun bank milik Bersatu.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa. – KOSMO! ONLINE
The post Muhyiddin lepas, bebas satu kes suapan, tiga ubah wang haram appeared first on Kosmo Online.






