Beberapa hari lepas, Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa selepas berbincang dengan 14 ADUN Umno di Negeri Sembilan, kesemua mereka telah bersetuju untuk terus menyokong kerajaan perpaduan negeri pimpinan Pakatan Harapan.
Hanya 6 atau 7 jam yang lepas ( Pada 2-Mei) , saya baru menulis bahawa saya tidak yakin yang Zahid Hamidi telah menyelesaikan kemelut di Negeri Sembilan — Saya menjangkakan bahawa Zahid kemungkinan besar hanya berjaya merundingkan satu perdamaian sementara antara Umno dan PH di Negeri Sembilan — dan seperti juga perdamaian sementara antara Iran dan Amerika, ia hampir pasti tidak akan bertahan lama, dan berkemungkinan besar akan runtuh dalam masa terdekat.
Belum pun sempat dakwat dalam tulisan saya kering, perdamaian itu telah pun berakhir.
Bagaimana ia berakhir ?
Ia berakhir bila pemimpin tidak rasmi kepada 14 ADUN Umno di Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, baru sahaja mengumumkan satu langkah yang luar biasa. Jalaluddin mengumumkan bahawa walaupun adun Umno Negeri Sembilan tidak akan meneruskan usaha untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan, tetapi mereka juga tidak akan kembali menyokong PH sebagai rakan pentadbiran seperti sebelum ini.
Sebaliknya, mereka memilih untuk keluar daripada kerajaan perpaduan negeri dan menjadi pembangkang.
Langkah ini cukup luar biasa kerana dalam satu gerakan, Jalaluddin telah memenuhi kehendak Zahid untuk menghentikan tekanan terhadap kerajaan PH, namun pada masa sama tetap mengekalkan pendirian Umno Negeri Sembilan untuk manarik balik sokongan kepada kerajaan PH di Negeri Sembilan.
Jika kita melihat politik sebagai satu permainan catur, " langkah Jalaluddin" ini pasti akan dikaji oleh “grandmaster” politik generasi akan datang, kerana ia berjaya mencapai dua matlamat yang bertentangan dengan hanya satu pergerakkan.
Apakah implikasi "Langkah Jalaluddin" ini terhadap krisis politik Negeri Sembilan?
Dalam pandangan saya, “Langkah Jalaluddin” ini hampir pasti akan memburukkan lagi kemelut politik di Negeri Sembilan, kerana ia akan meletakkan kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun dalam situasi yang amat sukar.
Mengapa?
Kerana jika Umno menyertai PN sebagai pembangkang, maka blok pembangkang akan memiliki 19 kerusi DUN, manakala kerajaan negeri hanya 17 kerusi.
Ini bermakna pembangkang adalah lebih kuat daripada kerajaan — namun ironinya, kerajaan PH yang lebih lemah itu lah yang akan masih terus mentadbir Negeri Sembilan.
Selain kelihatan tidak masuk akal dari sudut logik — kerana ia menjadikan istilah “kerajaan” dan “pembangkang” menjadi tidak bermakna— aturan ini juga akan pasti membuat kerajaan PH Aminuddin gagal berfungsi, kerana Kerajaan Aminuddin akan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pembangkang untuk meluluskan sebarang usul atau rang undang-undang dalam dewan.
Selain daripada itu, Langkah Jalaluddin ini juga memberi isyarat bahawa Zahid semakin hilang kawalan terhadap Umno.
Ini adalah satu isyarat yang amar berbahaya untuk Zahid.
Ia amat berbahaya, kerana sekiranya Zahid terus menerus gagal untuk membuat Umno Negeri Sembilan menurut kehendakknya, satu mesej akan tersebar ke semua cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara , dan mesej ini akan berbunyi: “Zahid sudah lemah — inilah masa yang tepat untuk menumbangkannya.”
TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.





