UMNO Tidak Pernah Berhasrat Jadi Pembangkang Di Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

LocalPolitics
5 May 2026 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

UMNO Tidak Pernah Berhasrat Jadi Pembangkang Di Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - UMNO tidak pernah berhasrat untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, apatah lagi ketika parti itu kini adalah sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan.

Menegaskan perkara itu, presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan di peringkat pusat sebaliknya mengesahkan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di negeri berkenaan akan kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

"Kami tidak berhasrat untuk menjadi pembangkang. Kami juga tidak pernah membincangkan kedudukan Menteri Besar di negeri ini," katanya.

Isnin lalu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik semula sokongan ke atas pentadbiran kerajaan negeri.

Kumpulan ADUN berkenaan turur mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri terbabit.

Tindakan itu didakwa diambil susulan krisis melibatkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang ditegaskan Aminuddin, perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.

Ditanya mengenai persediaan Barisan Nasional untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) mengejut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dibubarkan dalam masa terdekat, Ahmad Zahid berkata, BN sudah bersedia untuk itu, tetapi semua calon masih belum ditentukan.

"Terlalu awal untuk mengenal pasti calon.

"Semua parti bersedia, dan yang paling penting, apabila kita menyerahkan mandat ini kepada rakyat, mereka mesti memilih kombinasi terbaik," tambahnya. – Getaran, 5 Mei 2026