
Musim PRU dah tiba menerusi hari pengundian PRU15 pada 19 November ini. Dengan semua blok dan parti politik memuktamadkan calon mereka, masa inilah cerita tak sedap naik. Ada sesetengah calon tak mahu dicalonkan atas sebab usia dan faktor kesihatan. Tapi parti tetap pilih kononnya sebab calon sebegini boleh bantu mereka menang. Cerita sebegini timbulkan satu soalan, dah takde orang lain ke jadi calon termasuk orang muda?

Entah kenapa orang sebegini dipilih walaupun dah dinyatakan tak nak dicalonkan. Macam kes Datuk Ahmad Nazlan Idris, Ahli Parlimen Jerantut. Lepas PRU15 diumumkan, UMNO-BN mahu beliau jadi calon di situ. Masalahnya, tuan punya badan sudah nyatakan beberapa kali kepada parti terutama cawangan di Jerantut bahawa beliau tak berminat. Sampai terpaksa tutup telefon nak elak orang pujuk ubah pendirian!
Di sebelah pembangkang pula, dilema sama dialami Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Memang betul beliau terima pencalonan Amanah-PH untuk pertahankan kawasan Parlimen beliau. Tapi Dr Dzulkefly terima pun sebab lawannya dikatakan calon 'heavyweight' BN merangkap Menteri Kewangan sekarang, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kalau tak kerana kaliber lawannya itu, memang beliau pun akan tolak pencalonan. Sebabnya pun munasabah, faktor usia dan kesihatan. Senang cerita, Dr Dzulkefly bertanding dalam keadaan orang keberatan.
Dan ini akan undang persoalan dalam kalangan pengundi. Kalau dah keberatan jadi calon, apa jaminan kualiti kerja sebagai Ahli Parlimen/ADUN (kalau di Perak, Perlis dan Pahang) tak terjejas? Kalau tuan punya badan dan pakatan jenis yang sedia tunaikan tanggungjawab, itu boleh terima lagi. Namun kalau sebaliknya, rugi undi orang yang pilih sebab undi mereka disia-siakan!
Keduanya, dengan pilih orang yang keberatan, apa jaminan pemimpin muda parti-parti politik tak terasa tak dipilih? Pada permukaan, senyum je lah walaupun senyum kelat dan bagi sokongan. Tapi dalam hati, panas hatinya, Tuhan saja yang tahu.
Betul, dari segi pengalaman dan pengetahuan, ada pemimpin lebih senior patut dipilih sebagai calon. Tapi kalau calonnya ialah calon kitar semula dan kalah beberapa kali, berapa kali nak beri peluang? Itu kerja sia-sia namanya.
Yang orang lain lebih berkelayakan dibiarkan jadi lemau dan kecewa. Bila orang tersebut keluar dan jadi aset parti lain, baru nak menyesal. Tapi dah terlambat, ada peluang gagal bagi. Tak pasal-pasal parti merana jangka panjang.
Ketiga, bila lagi peluang pemimpin muda timba pengalaman? Betul, mereka boleh naik sebagai lantikan politik dalam kerajaan. Namun itu tak sama dengan perasaan menang atau kalah dalam pilihan raya.
Masa begini, semua kerja keras untuk dorong orang keluar mengundi. Sekurang-kurangnya, pemimpin muda puas hati dengan titik peluh mereka sepanjang kempen. Kalau menang, memang seronok. Kalau kalah, itu peluang untuk bangkit dan tambahbaik diri. Lagi-lagi dengan terus berbakti di kawasan yang kalah sampai PRU/PRN/PRK baru.
Masalahnya, politik bersifat 'zero-sum game'. Yang menang dijulang manakala yang kalah dilupakan. Mungkin itu sebab kenapa sesetengah parti politik lebih suka ketengahkan calon berpengalaman daripada meletakkan calon muda. Sebab PRU pada dasarnya ialah satu pertandingan yang menentukan hidup mati sesebuah parti atau pakatan politik.

Oleh sebab itu, ada parti lebih suka calon umur 97 tahun daripada orang muda yang bakal corak masa depan negara untuk tempoh 20-30 tahun seterusnya. Kononnya, atas dasar tanggungjawab bila calonkan diri sebagai calon parti dia. Merepeklah!
Dengan lihat situasi ini, tak terkejutlah kalau ada orang muda yang ambil keputusan untuk tak mengundi. Dahlah takde calon orang muda, yang ditampilkan muka-muka lama yang dah basi. Walaupun sudah diseru untuk tunaikan tanggungjawab pada 19 November ini daripada boikot, orang muda tak peduli. Apa guna mengundi kalau suara mereka ditenggelamkan oleh pemimpin-pemimpin yang sudah tamat tarikh luput?
Jadi, sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini, kalau rasa hati tak sudi atau masa untuk bersara, lakukan sajalah. Tak payah layan pujukan atau tawaran janji. Yang pujuk/janji tau nak menang je. Dia bukan peduli orang terbongkang, ada hal kematian atau sebab peribadi.
Bagilah peluang pada orang lain terutama pemimpin muda. Beri peluang kepada mereka corak masa depan mereka. Kalau itu pun susah nak buat, makanya blok-blok politik yang enggan berbuat demikian sebenarnya hipokrit kepada para penyokong mereka.

Kongsi pengalaman, impian atau harapan anda untuk #PRU15 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM16,500! Berminat? Ambil bahagian di sini.
Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.
Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


