Pendapatan Dayang Enterprise berpotensi meningkat pada FY23 didorong prestasi kukuh Perdana Petroleum, kata CGS-CIMB

Business & Finance
24 Aug 2023 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Dayang Enterprise berpotensi meningkat pada FY23 didorong prestasi kukuh Perdana Petroleum, kata CGS-CIMB

diyana

24/08/2023 - 09:57

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pendapatan Dayang Enterprise Holdings Bhd bagi tahun kewangan 2023 (FY23) berpotensi meningkat didorong prestasi kukuh Perdana Petroleum (PETR) pada suku kedua 2023 (2Q23) dan prospek separuh kedua 2023 (2H23) yang sihat, menurut CGS-CIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih PETR kembali kukuh pada RM25.6 juta dalam 2Q23 berbanding kerugian RM8.4 juta bagi suku pertama tahun ini, paras tertinggi dalam 8.5 tahun, didorong oleh penggunaan kapal yang meningkat kepada 69% dan kadar sewa lebih tinggi .

“Margin melebar pada 2Q23 jelas menunjukkan peningkatan operasi yang tinggi daripada penggunaan kapal dan kadar sewa kapal yang bertambah baik secara keseluruhan.

“Pengurusan menjangkakan kadar penggunaan kapal akan bertambah baik kepada kira-kira 80% pada suku ketiga tahun ini sebelum kembali normal kepada sekitar 60% pada suku keempat 2023 apabila musim monsun bermula.

Di samping itu, operasi utamanya turut meraih daya tarikan yang baik memandangkan sejak pertengahan Julai, Dayang Enterprise telah menerima lanjutan kontrak, dengan kadar unit adalah lebih tinggi 20% sehingga 25% berbanding tempoh terdahulu di mana kontrak telah diraih pada 2018, menurut pengurusan.

CGS-CIMB Securities berkata kadar lebih tinggi yang telah dikunci itu menggalakkan kerana ia memberi petanda baik untuk margin bergerak ke hadapan.

Pada Julai, Dayang Enterprise telah mengemukakan bidaan untuk tender Pembersihan Tempahan Tertunggak Integriti Aset (ABC) dianggarkan bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion, dengan pengumuman dijadualkan pada akhir tahun.

Menurut CGS-CIMB Securities, keuntungan bersih PETR pada separuh pertama tahun ini mencecah RM17.2 juta berbanding kerugian RM18.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu, lebih baik daripada anggaran sumbangan firma tersebut yang telah diambil kira dalam unjuran pendapatan Dayang Enterprise.

“Selepas 1Q23 yang mengecewakan, pendapatan Dayang kelihatan bersedia untuk melantun semula dari 2Q23 dan seterusnya kerana isu-isu daripada perubahan dalam strategi kontrak oleh pelanggannya telah banyak diselesaikan.

“Selain itu, pelaksanaan kerjanya untuk sepanjang tahun ini nampaknya mengikut jadual, manakala perjanjian ‘farm-in’ interim daripada kontrak ABC sepatutnya menambah pendapatan secara berperingkat mulai Ogos 2023 dan seterusnya,” tambah firma itu.

CGS-CIMB Securities mengulangi saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham, sambil mengekalkan Dayang sebagai salah satu pilihan utama dalam sektor minyak dan gas, serta pasaran yang lebih luas.

Pada waktu penulisan, saham Dayang Enterprise menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.52 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.76 bilion. - DagangNews.com