Prospek Hibiscus Petroleum dijangka kukuh dalam FY24 dipacu kenaikan jumlah jualan, kestabilan harga minyak mentah Brent – PublicInvest

Business & Finance
24 Aug 2023 • 11:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek Hibiscus Petroleum dijangka kukuh dalam FY24 dipacu kenaikan jumlah jualan, kestabilan harga minyak mentah Brent – PublicInvest

diyana

24/08/2023 - 11:32

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Prospek Hibiscus Petroleum Berhad dijangka kukuh dalam FY24 didorong peningkatan jumlah jualan dan kestabilan harga minyak mentah Brent, menurut Public Investment Bank (PublicInvest) sambil menaikkan taraf saranan kumpulan kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.20 sesaham daripada RM1.18.

Menurut PublicInvest, keuntungan bersih Hibiscus Petroleum dalam FY23 kukuh dengan mencatatkan peningkatan 24.9% tahun ke tahun kepada RM423.1 juta, melebihi unjuran tahun penuh firma pada 109% namun selaras dengan konsensus sebanyak 99%.

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan Hibiscus Petroleum bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 23% dan 18% memandangkan prospek FY24 kumpulan dilihat kukuh.

“Bagi prospek FY24, Hibiscus Petroleum menganggarkan untuk meningkatkan jumlah jualan sebanyak 6% sehingga 10% daripada jumlah dagangan semasa sebanyak 7.1 juta tong setara minyak (MMboe).

“Kami turut menjangkakan harga minyak mentah Brent stabil antara AS$80 dan 90 setiap tong minyak mentah (bbl) dalam separuh kedua tahun ini, yang akan menyokong prestasinya pada FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma itu, kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan, terutamanya dari ladang Kinabalu.

Berdasarkan jadual dagangan, firma itu berkata separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) dijangka menyaksikan jumlah lebih tinggi 12% berbanding 2HFY23.

“Oleh itu, kami percaya ia akan memberikan pertumbuhan pendapatan yang kukuh untuk dua suku akan datang.

“Ini juga disokong oleh kestabilan harga minyak mentah Brent kerana OPEC+ telah menjadi proaktif dalam mengawal bekalannya berikutan permintaan global yang sederhana,” tambahnya.

Di samping itu, PublicInvest berkata Hibiscus Petroleum komited untuk merangsang pertumbuhan dengan membelanjakan AS$415.8 juta dalam tempoh dua tahun terutamanya bagi North Sabah dan UK Teal West.

Pada waktu penulisan, saham Hibiscus Petroleum susut 1 sen atau 1.1% kepada 94.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.9 bilion. - DagangNews.com