Prestasi perdagangan Malaysia dijangka terkesan akibat kelemahan pertumbuhan segmen E&E, kata CGS-CIMB

Business & Finance
21 Aug 2023 • 9:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi perdagangan Malaysia dijangka terkesan akibat kelemahan pertumbuhan segmen E&E, kata CGS-CIMB

azan

21/08/2023 - 09:45

KUALA LUMPUR 21 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan prestasi perdagangan negara akan terkesan oleh pertumbuhan segmen elektrik dan elektronik (E&E) yang lemah kesan asas yang tinggi pada 2022 selain permintaan global yang lembap akibat peperangan perdagangan semikonduktor antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Firma penyelidikan itu berkata, larangan eksport China baru-baru initerhadap bahan utama dalam industri semikonduktor dijangka memanjangkan lagi kitaran menurun dalam sektor itu.

"Eksport E&E Malaysia menyumbang 43.2% daripada jumlah keseluruhan, eksport telah menjadi sederhana dengan purata pertumbuhan bulanan sebanyak 2.2% bagi tempoh tujuh bulan 2023.

"Walaupun jualan semikonduktor global suku kedua 2023 meningkat sebanyak 1.7%, penganalisis teknologi kami menjangkakan bahawa pemulihan industri mungkin berlaku pada 2024 kerana permintaan yang lemah boleh memanjangkan pertumbuhan yang lemah.

"Tambahan pula, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia kekal di bawah paras pengembangan 50, kerana keyakinan pengguna kekal lemah dalam kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa yang menyindir bahawa pertumbuhan pembuatan mungkin kekal lemah dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

CGS-CIMB Research berkata, kelemahan yang sama juga dilihat dalam PMI Pembuatan Global serta PMI Elektronik Global S&P.

Katanya, kelemahan China dalam aktiviti perdagangan dan pembuatan memberi kesan kepada permintaan perdagangan global.

"Petunjuk utama di AS, Kesatuan Eropah (EU) dan rakan dagangan utama di ASEAN menunjukkan tanda-tanda perlahan akibat kenaikan kadar faedah, justeru kami menjangkakan permintaan akan kekal lemah dalam tempoh terdekat," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, daripada perspektif imbangan perdagangan, lebihan dagangan Julai 2023 yang lebih rendah sebanyak RM17.1 bilion menandakan permulaan yang baik untuk suku ketiga.

Katanya, secara kumulatif, lebihan dagangan mengecil sedikit kepada RM135.3 bilion untuk tujuh bulan tahun ini, berbanding lebihan RM138.8 bilion dalam tempoh yang sama pada 2022.- DagangNews.com