liza22/05/2026 - 17:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Mei – Pendapatan Ibraco Berhad susust 13% kepada RM160.87 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q2026) berbanding RM184.05 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan penurunan sumbangan dari segmen pembinaan.
Syarikat itu bagaimanapun masih mencatat keuntungan bersih yang stabil sebanyak RM14.98 juta, sedikit meningkat berbanding RM14.81 juta pada 1Q2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ibraco berkata keuntungan sebelum cukai turut meningkat 8% kepada RM22.09 juta berbanding RM20.54 juta setahun lalu, disokong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh.
“Segmen pembinaan mencatat penurunan ketara kepada RM67.54 juta berbanding RM110.31 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, menjadi faktor utama penyusutan hasil kumpulan.
“Namun, segmen hartanah mencatat peningkatan kepada RM81.8 juta berbanding RM63.84 juta sebelum ini, membantu mengimbangi sebahagian penurunan daripada pembinaan.
“Untung kasar kumpulan meningkat kepada RM40.77 juta berbanding RM37.30 juta, mencerminkan margin yang lebih baik dalam operasi semasa,” katanya dalam makluman tersebut.
Kos kewangan meningkat kepada RM6.59 juta berbanding RM6 juta, sejajar dengan paras pinjaman kumpulan yang masih tinggi.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset meningkat kepada RM1.49 bilion, manakala liabiliti berjumlah RM896.43 juta.
Aliran tunai operasi kumpulan bertambah baik dengan mencatat RM12.31 juta berbanding aliran negatif RM51.84 juta pada tahun sebelumnya, disokong pengurusan modal kerja yang lebih efisien.
Bagi segmen perniagaan, Ibraco terus bergiat dalam pembangunan hartanah, pembinaan, kuari serta pembuatan bahan binaan sebagai sebahagian model integrasi menegak kumpulan.
Dari segi prospek, kumpulan memberi tumpuan kepada pembangunan utama seperti The NorthBank dan Arden City di Sarawak yang menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang.
Selain itu, Ibraco turut memperluas kehadiran ke Semenanjung melalui projek Residensi NewUrban di Petaling Jaya, di samping menyokong pertumbuhan melalui projek infrastruktur seperti Second Trunk Road dan Kuching Urban Transport System.
Secara keseluruhan, kumpulan kekal berhati-hati optimis terhadap prestasi 2026, disokong oleh portfolio projek yang pelbagai, jualan yang masih belum ditagih serta strategi integrasi operasi yang kukuh. - DagangNews.com






