Pendapatan IOI Properties berpotensi melonjak dipacu pengembangan portfolio pelaburan hartanah - penganalisis

18/08/2025 - 09:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 18 Ogos - IOI Properties Group Bhd berpotensi mencatatkan peningkatan pendapatan selepas tahun kewangan 2025 (FY25), didorong pengembangan portfolio pelaburan hartanah serta sumbangan stabil daripada segmen pembangunan hartanahnya.
CIMB Securities memulakan liputan terhadap saham itu berkata, prospek cerah kumpulan hartanah tersebut masih kurang dihargai disebabkan kebimbangan terhadap tahap hutang tinggi.
“Kami melihat pertumbuhan struktur kumpulan itu masih belum dinilai dengan sewajarnya, bagaimanapun ia disokong kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 15.6% dalam pendapatan teras sesaham bagi FY27, dipacu pengembangan portfolio hartanah pelaburannya serta sumbangan pendapatan tambahan daripada W Residences,” katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, terdapat potensi penambahbaikan dalam tahap hutang IOI Properties melalui penjanaan wang hartanah pelaburan melalui penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT), serta peningkatan kualiti pendapatan dengan aliran pendapatan berulang yang berdaya tahan.
Firma penyelidikan itu memberikan penarafan "tambah" kepada saham ini dengan harga sasaran (TP) RM3.25 sesaham.
CIMB Securities juga percaya, IOI Properties berpotensi meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat permintaan hartanah di Johor, yang dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), berikutan pegangan tanahnya melebihi 1,214 hektar di negeri tersebut.
Susulan penambahan hartanah pelaburan baharu dan permulaan operasi IOI Central Boulevard Towers (ICBT) di Singapura pada Julai 2024, kualiti pendapatan IOI Properties telah meningkat dengan ketara, dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada aset berpendapatan berulang.
“Kami juga menjangkakan pengambilalihan baki 50.1% pegangan dalam pembangunan South Beach pada harga S$834.2 juta (kira-kira RM2.75 bilion) akan memberi kesan positif kepada pendapatan, walaupun mungkin menyebabkan peningkatan sementara dalam tahap hutang,” katanya.
CGS International (CGSI) menganggarkan, sumbangan pendapatan sebelum cukai (EBIT) kumpulan itu daripada segmen pelaburan hartanah akan meningkat secara ketara kepada 47% daripada jumlah EBIT kumpulan menjelang FY27 (berbanding 24% pada FY18).
“Ini menjadikan IOI Properties kurang terdedah kepada turun naik pendapatan pembangunan hartanah dan turut mengurangkan diskaun besar terhadap pulangan atas nilai aset bersih, pada pandangan kami,” katanya.
CGSI berkata, IOI Properties dilaporkan sedang meneroka dua penyenaraian REIT – satu untuk asetnya di Malaysia yang dianggarkan bernilai RM7 bilion hingga RM8 bilion, dan satu lagi untuk aset di Singapura bernilai antara S$7 bilion hingga S$8 bilion.
“Berdasarkan andaian kami, kumpulan itu mengekalkan 50% pegangan kawalan dalam kedua-dua REIT selepas penyenaraian masing-masing pada FY27 hingga FY28, dan dengan penilaian penyenaraian gabungan sebanyak RM32.3 bilion, kami menjangkakan keberhutangan bersih kumpulan akan menurun kepada kira-kira 0.36 kali menjelang akhir FY28.
“Ini merupakan penambahbaikan ketara berbanding 0.97 kali dalam senario tanpa penjanaan pendapatan," katanya.
CGSI melihat potensi penyenaraian REIT ini sebagai memberi impak dua hala – bukan sahaja membuka nilai dalam portfolio hartanah pelaburan kumpulan, tetapi juga bertindak sebagai pemacu struktur terhadap penilaian IOI Properties.- DagangNews.com
standard

