Pendapatan hartanah bersih Sunway REIT pada 2QFY25 naik 19.8% kepada RM154.9 juta

12/08/2025 - 18:07
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatatkan peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 19.8% kepada RM154.9 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) berbanding RM129.3 juta tahun sebelumnya didorong sumbangan kukuh daripada segmen runcit serta perindustrian.
Hasil kumpulan pada 2QFY25 juga naik 20.4% kepada RM211.4 juta berbanding RM175.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
"Segmen runcit mengekalkan trajektori pertumbuhan kukuhnya, dengan pendapatan meningkat sebanyak 29% kepada RM160.0 juta daripada RM123.7 juta pada 2QFY24.
"Prestasi ini didorong sumbangan lebih tinggi daripada aset runcit yang diperoleh pada 2024, di samping peningkatan pendapatan daripada Sunway Pyramid Mall susulan pembukaan sayap Oasis pada 1 November 2024 dan pembukaan semula sepenuhnya sayap sedia ada Sunway Carnival Mall lebih awal daripada jangkaan pada 7 Mei 2025.
"Segmen runcit dijangka mengekalkan momentum kenaikan dalam suku-suku akan datang, disokong pengambilalihan aset AEON Mall Seri Manjung pada 25 Julai 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif / Ketua Pegawai Kewangan Sunway REIT Management Sdn Bhd, Ng Bee Lien berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi Sunway REIT pada 2QFY25 disokong momentum berterusan dalam segmen runcit dan pertumbuhan berterusan daripada segmen perindustrian.
Katanya, sumbangan kukuh daripada aset baharu yang diperoleh serta usaha penambahbaikan aset secara aktif telah membolehkan kami mencapai pertumbuhan yang kukuh.
"Walaupun segmen hotel dan pejabat mengalami kelembapan sementara disebabkan oleh faktor bermusim dan gangguan luaran, kami telah mula melihat tanda-tanda awal pemulihan, khususnya dalam segmen hospitaliti.
"Kami kekal komited untuk memperkukuh daya tahan portfolio kami dan membuka nilai jangka panjang melalui pengambilalihan strategik, penyewaan secara proaktif, dan pengurusan modal yang berdisiplin," katanya.
Bee Lien berkata, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia merupakan perkembangan menarik untuk Sunway REIT.
Katanya, sebagai kenderaan pelaburan yang berfokuskan hasil, kos pinjaman yang lebih rendah akan membantu meningkatkan margin faedah dan menyokong strategi pengurusan modal.
"Pelonggaran dasar monetari ini memberi ruang tambahan untuk meneruskan pengambilalihan dan inisiatif penambahbaikan aset yang mampu menambah hasil, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit," katanya.- DagangNews.com
standard

