Pendapatan pelaburan KWSP meningkat

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendapatan pelaburan KWSP meningkat

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpa­nan Pekerja (KWSP) merekodkan peningkatan 30 peratus pendapatan pelaburan kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, pendapatan pelaburan KWSP me­ningkat tiga peratus kepada RM25.82 bi­lion berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, peningkatan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan itu mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan yang pelbagai serta strategi pelaburan kumpulan berkenaan dalam mempercepatkan penjanaan pendapatan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan lebih sederhana pada suku ketiga dijangka berterusan pada suku keempat susulan kelemahan pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil bon.

“Perkembangan pasaran pada awal suku ketiga termasuk pe­ningkatan risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, tekanan inflasi berterusan dan penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI)mendorong KWSP mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam pengurusan portfolio.

“Keutamaan kami adalah meng­imbangi peluang pelaburan dengan risiko yang muncul selain terus menjana pulangan mampan dalam jangka panjang dan memelihara kesejahteraan persaraan ahli,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan pecahan kelas aset, pelaburan ekuiti menca­tatkan pendapatan RM17.41 bi­lion pada suku ketiga 2026, me­ningkat tiga peratus berbanding RM16.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Kelas aset itu menyumbang 67 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP bagi suku berkenaan disokong prestasi pasaran ekuiti global yang kekal berdaya tahan.

Katanya, prestasi pasaran turut didorong pendapatan korporat yang kukuh, peningkatan pelaburan dalam sektor berkaitan AI serta keadaan ekonomi yang secara umumnya menggalakkan.

“Keadaan itu memberi peluang kepada pengurus dana KWSP menguruskan portfolio secara aktif bagi menjana nilai pelaburan.

“Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM7.12 bilion atau 28 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ketiga 2026.

“Walaupun peningkatan hasil dalam pasaran utama memberi tekanan kepada penilaian portfolio bon, pelaburan dalam kelas aset itu terus menjana pendapatan stabil dan menyokong daya tahan keseluruhan portfolio.

“Instrumen berkenaan, termasuk Sekuriti Kerajaan Malaysia, kekal sebagai komponen defensif utama KWSP dalam menghadapi turun naik pasaran,” katanya.

Bagi kelas aset lain, hartanah dan infrastruktur menjana pendapatan RM890 juta manakala instrumen pasaran wang mencatatkan keuntungan RM400 juta pada suku berkenaan.

Setakat 30 September 2026, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.55 trilion, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di pasaran antarabangsa.

Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan RM13.68 bilion, merangkumi 53 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026.

Mengikut jenis simpanan, Simpanan Konvensional mencatatkan pendapatan pelaburan RM21.39 bilion manakala Simpanan Shariah merekodkan RM4.43 bilion.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran berada pada paras 2.9 peratus pada September 2026.

Pasaran buruh yang terus kukuh menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan bilangan ahli dan aktiviti caruman sepanjang tempoh tersebut.

Ahmad Zulqarnain berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan 2026, KWSP mendaftarkan hampir 659,000 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 18.6 juta.

Menurutnya, bilangan ahli aktif meningkat kepada 11.2 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 60:40.-UTUSAN.

The post Pendapatan pelaburan KWSP meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved