Bursa Malaysia lantik Datuk Mohamed Rafique Merican sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baharu

14/08/2025 - 18:15
Datuk Mohamed Rafique Merican Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Bursa Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Rafique Merican sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas ke Lembaga Pengarah berkuat kuasa 15 Ogos 2025.
Pelantikan ini turut melibatkan perkhidmatan beliau sebagai ahli Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran.
Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor perkhidmatan kewangan, pelaburan, tenaga, pengurusan fasiliti dan pembangunan hartanah.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam, Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad.
Mohamed Rafique juga pernah memegang beberapa jawatan utama lain termasuk Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad, CEO Radicare (M) Sdn Bhd, KetuaPegawai Kewangan dan Setiausaha Bersama Malakoff Berhad serta Pengarah Perkhidmatan Korporat Kumpulan Amanah Capital Partners Berhad.
Pada awal kerjayanya, beliau turut memegang jawatan kanan dalam bidang kewangan korporat dan perundingan di beberapa syarikat termasuk Taiping Consolidated Berhad, Landmarks Berhad dan Bumiputra Merchant Bankers Berhad.
Beliau juga merupakan felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), United Kingdom, berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia dan pernah menghadiri Advanced Management Programme di Harvard Business School.
Mohamed Rafique sebelum ini turut menjadi ahli Malaysia Accounting Standards Board.
Dengan pelantikan tersebut, komposisi Lembaga Pengarah Bursa Malaysia kini terdiri daripada 11 ahli, termasuk Pengerusi merangkap Pengarah Kepentingan Awam, Tan Sri Abdul Farid Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Fad’l Mohamed.
Selain itu ialah Datuk Anad Krishnan Muthusamy, Datin Azlina Mahmad, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Datuk Bazlan Osman, Syed Ari Azhar Syed Mohamed Adlan, Tan Ler Chin, Sharifatu Laila Syed Ali dan Redza Goh.- DagangNews.com
standard



