
TAPAH – Seorang bapa tunggal kepada tiga anak bersyukur kerana menerima rumah baharu yang selesa untuk didiami selepas kediaman lamanya berasaskan buluh dan nipah rosak teruk, berlubang dan usang.
Menurut Raas Basresh, 36, pendapatannya ibarat peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” yang kadang-kadang tidak mencukupi, memerlukan bantuan keluarga dan saudara mara terdekat.
“Pendapatan sehari adalah RM40-RM50. Saya juga perlukan duit untuk sekolah (anak-anak) dan makan jadi tiada peluang (kumpul wang) untuk bina rumah sendiri.
“Saya bekerja sendiri, ambil pucuk paku, mesin rumput dan upah untuk kerja-kerja kampung,” katanya di Kampung Orang Asli Batu 9, Jalan Pahang di sini hari ini.
Katanya, kediaman lamanya berasaskan buluh dan nipah rosak teruk, berlubang dan usang yang tidak selamat untuk didiami bersama tiga anaknya.
“Kami telah menetap di situ selama 10 tahun sebelum memohon rumah daripada Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan.
“Saya sangat berterima kasih kerana beliau memberi rumah ini untuk saya dan anak-anak supaya kami dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat terutama untuk mereka belajar dan membesar,” katanya.
Dia mempunyai tiga anak berumur tujuh hingga 11 tahun meluahkan perasaan gembira kerana kesemua anaknya teruja sebaik sahaja memasuki rumah baharu berkenaan kerana masing-masing tidak sabar untuk menikmati ruang bilik sendiri. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pendapatan sehari RM40-RM50, mana mungkin ada rumah sendiri’ appeared first on Kosmo Digital.

