Pertumbuhan pendapatan Perak Transit dijangka berterusan sehingga FY24 dipacu segmen IPTT – AmInvestment

Business & Finance
17 Aug 2023 • 2:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan pendapatan Perak Transit dijangka berterusan sehingga FY24 dipacu segmen IPTT – AmInvestment

diyana

17/08/2023 - 14:52

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pertumbuhan pendapatan Perak Transit Bhd dijangka berterusan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) disokong segmen terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT) yang kian kukuh.

Dalam jangka pendek hingga sederhana, AmInvestment Bank Research berkata pendapatan kumpulan akan dipacu pertumbuhan mampan dalam segmen IPTT berikutan pemulihan secara beransur-ansur selepas pandemik.

Di samping itu, pertumbuhan tersebut turut didorong oleh kadar penghunian Kampar Putra Sentral kian bertambah baik, dengan sasaran untuk mencapai 70% menjelang akhir FY23 daripada 55% ketika ini.

“Sumbangan pendapatan sulung daripada Bidor Sentral yang disasarkan bermula pada FY24 akan memberikan momentum selanjutnya kepada trajektori pertumbuhan kumpulan.

“Setakat 31 Julai 2023, pembinaan Bidor Sentral yang sedang berjalan telah mencapai 75% dan mengikut jadual untuk disiapkan menjelang akhir FY23,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut AmInvestment, memandangkan saham itu didagangkan pada nisbah harga-pendapatan (PE) FY24 yang menarik sebanyak 13 kali berbanding purata 16 kali sebelum pandemik tiga tahun bagi FY17-19, Perak Transit menawarkan pelabur peluang baik untuk memiliki perniagaan infrastruktur awam yang defensif.

Tambahnya, kumpulan itu juga berhasrat untuk mengamalkan model perniagaan berulangnya di negeri lain selain Perak bagi mempercepatkan pertumbuhannya.

“Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami buat masa ini kerana keuntungan bersih teras (CNP) Perak Transit pada 1HFY23 sebanyak RM31 juta, meningkat 7% tahun ke tahun, adalah sedikit di bawah jangkaan kami pada 44% tetapi dalam anggaran konsensus pada 46%,” katanya.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah pada RM1.54 sesaham.

Pada waktu penulisan, saham Perak Transit susut 1 sen atau 0.8% kepada RM1.20 dengan permodalan pasarannya bernilai RM888 juta. - DagangNews.com