Pendapatan SP Setia dijangka semakin baik disokong sumbangan operasi di luar, kunci kira-kira kukuh – PublicInvest

Business & Finance
5 Sep 2023 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan SP Setia dijangka semakin baik disokong sumbangan operasi di luar, kunci kira-kira kukuh – PublicInvest

diyana

05/09/2023 - 12:26

KUALA LUMPUR 5 Sept - Pendapatan SP Setia Berhad dijangka semakin baik pada suku-suku mendatang, disokong oleh sumbangan operasi di luar negara, dan kunci kira-kiranya yang lebih kukuh, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa kumpulan tersebut dapat mencapai sasaran nisbah hutang-kepada-ekuiti 0.5 kali, disokong oleh penjualan bank tanah bukan strategik (sekitar RM1 bilion) dan penyiapan projek di luar negara (kira-kira RM1 bilion).

Sebagai tambahan kepada dua perjanjian pelupusan tanah bernilai kira-kira RM940 juta, firma itu berkata SP Setia mempunyai kira-kira RM6.8 bilion jualan belum dibil, yang mana projek di luar negara berjumlah kira-kira RM1.1 bilion disasarkan siap pada akhir tahun ini.

Pada suku kedua tahun ini, SP Setia telah menjual dua bidang tanahnya iaitu kepada Mah Sing (202 hektar bernilai RM392 juta pada Jun) dan usaha sama Scientex (388 hektar berharga RM547.7 juta pada Julai).

“Melangkah ke hadapan, kami difahamkan bahawa kumpulan itu akan terus mengukuhkan kunci kira-kiranya menggunakan nilai daripada aset pelaburannya (bernilai RM5 bilion), dan mengoptimumkan saiz bank tanahnya (2780 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar [GDV] RM126 bilion).

“Dengan kedudukan yang lebih kukuh, kumpulan itu kemudiannya akan memulakan pelancaran lebih banyak projek/perbandaran baharu, yang antara lain termasuk Setia Federal Hill (21 hektar, GDV RM20 bilion) yang boleh dibangunkan bersama rakan kongsi strategik bagi mengurangkan komitmen modal dan meluaskan jangkauan pemasaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut PublicInvest, kumpulan itu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh untuk kawasan pertumbuhan baharu.

Selain Setia Federal Hill, firma itu berkata kumpulan itu telah mengenal pasti kawasan perindustrian dalam simpanan tanahnya iaitu Setia Fontaines Industrial Park, Pulau Pinang (105 hektar), Setia Alaman, Klang (161 hektar, GDV RM4.2 bilion) dan Tanjung Kupang, Johor (124.6 hektar, RM1.8 bilion).

Di samping itu, ia juga memperoleh tanah baharu di Sydney baru-baru ini yang bernilai RM220 juta, yang diperuntukkan untuk projek kediaman dengan GDV RM708 juta.

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ namun meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM1.20 sesaham daripada 95 sen sebelumnya.

Pada waktu penulisan, saham SP Setia susut 4.5 sen atau 5% kepada 85 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.47 bilion. Setakat tahun ini, saham kumpulan itu telah meningkat 39% dari 61 sen. - DagangNews.com