Pendapatan Leong Hup International Berhad dijangka kukuh berikutan persekitaran operasi bertambah baik – RHB Investment

Business & Finance
30 Aug 2023 • 12:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Leong Hup International Berhad dijangka kukuh berikutan persekitaran operasi bertambah baik – RHB Investment

diyana

30/08/2023 - 12:45

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pertumbuhan pendapatan Leong Hup International Berhad dijangka kukuh memandangkan persekitaran operasi bertambah baik dalam pasaran utama termasuk Malaysia dan Indonesia.

RHB Investment berkata kumpulan itu mempunyai kedudukan baik untuk meraih penggunaan ayam itik yang teguh di rantau ASEAN, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam kapasiti pengeluaran dan bahagian pasarannya.

“Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan menggalakkan kumpulan itu berterusan kerana kami percaya pemulihan di Indonesia adalah mampan, memandangkan dinamik bekalan dan permintaan yang lebih seimbang dalam pasaran itu.

“Di samping itu, kestabilan program penggunaan dan subsidi di Malaysia, yang merupakan pasaran penyumbang utama, juga harus memberikan sokongan selanjutnya untuk memacu pertumbuhan pendapatan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain operasi di Malaysia dan Indonesia semakin baik, firma penyelidikan itu berkata pemulihan margin daripada pelepasan kos dalam pasaran Singapura turut meyakinkannya bahawa kesan persekitaran perniagaan yang mencabar di Vietnam boleh dikurangkan.

Selain itu, aliran kos makanan yang menggalakkan juga seharusnya memberi petanda yang baik untuk keuntungan kumpulan pada masa hadapan, tambahnya.

Firma itu berkata pendapatan kumpulan tersebut dalam tempoh tersebut meningkat 6% kepada RM4.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan sihat merentas semua pasaran operasi berikutan pembukaan semula ekonomi secara meluas.

Tambahnya, pasaran Filipina menyumbang pertumbuhan tertinggi, kerana kumpulan itu terus mengembangkan kapasitinya dalam pasaran terbaharu ini.

Sehubungan itu, sumbangan kukuh daripada pasaran Malaysia, kesan pemulihan volum jualan dan subsidi kerajaan, telah mengimbangi pasaran Indonesia dan Vietnam yang perlahan.

Memandangkan pendapatan Leong Hup pada separuh pertama tahun ini dalam jangkaannya pada 48% dan melebihi anggaran konsensus sebanyak 55%, RHB Investment mengekalkan unjuran pendapatan.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 63 sen sesaham.

Pada rehat tengah hari, saham Leong Hup menokok 1 sen atau 1.9% kepada 54 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.97 bilion. - DagangNews.com