Pendapatan Velesto dijangka melonjak lebih 200% pada FY24 dipacu peningkatan kadar sewa harian, penggunaan pelantar

Business & Finance
24 Oct 2023 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Velesto dijangka melonjak lebih 200% pada FY24 dipacu peningkatan kadar sewa harian, penggunaan pelantar

diyana

24/10/2023 - 10:40

KUALA LUMPUR 24 Okt - Pertumbuhan pendapatan Velesto Energy Berhad dijangka melonjak lebih 200% dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dipacu peningkatan kadar sewa harian (DCR) dan purata kadar penggunaan pelantar ‘jack-up’.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat bahawa keputusan 3QFY23 kumpulan, yang akan dikeluarkan pada akhir November 2023, akan merosot buat sementara waktu dengan kerugian bersih dalam lingkungan RM10 juta hingga RM20 juta, kecuali sebarang perubahan kos tidak dijangka.

Jelasnya, kadar penggunaannya bagi 3Q23 kumpulan dijangka rendah pada 53% disebabkan oleh kerja penyelenggaraan Naga 2; tinjauan berkala khas (SPS) Naga 4; dan kerja-kerja pemeriksaan bawah air untuk Naga 3.

“Bagaimanapun, memandangkan kami menjangkakan prospek cerah dalam FY24 (dengan pertumbuhan pendapatan kami disemak semula melebihi 200% tahun ke tahun [YoY]), pelabur perlu melihat lebih jauh berikutan kami percaya 3QFY23 akan menjadi kelemahan pendapatan sementara,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengulas mengenai kadar sewa harian (DCR), Maybank IB berkata purata permintaan untuk pelantar ‘jack-up’ di Asia Tenggara pada 2024 dianggarkan antara 40 hingga 45 pelantar manakala jumlah bekalan pelantar ‘jack-up’ industri pada masa ini hanya pada 38.

“Ini menunjukkan pasaran yang ketat – yang akan terus memacu harga pada 2024. Pada September 2023, DCR tertinggi yang direkodkan untuk pelantar pesaing serantau adalah AS$160,000 (berbanding purata AS$120,000 setahun lalu).

“Kami menjangkakan Velesto akan memanfaatkan DCR lebih tinggi pada 2024 apabila kumpulan itu memenangi pekerjaan baharu atau memperbaharui kontrak sedia ada pada suku-suku berikutnya,” tambahnya.

Maybank IB menyemak semula unjuran pendapatan sesaham (EPS) Velesto bagi FY23 dikurangkan 20%, manakala untuk FY24-25 ditingkatkan 26% dan 52%.

Ini untuk mengambil kira perubahan unjuran DCR rig ‘jack-up’ gabungan FY23-25 masing-masing sebanyak AS$93,000, AS$114,000 dan AS$126,000; purata kadar penggunaan pelantar ‘jack-up’ FY23-25 pada 81%, 83% dan 82%; dan andaian margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih tinggi.

Oleh itu, firma itu menaikkan taraf saranan saham Velesto kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaiikan kepada 30 sen sesaham daripada 24 sen sebelumnya, untuk mencerminkan jangkaan pemulihan pendapatan yang kukuh lebih 200% dalam FY24.

Pada pukul 10.32 pagi ini, saham Velesto telah menokok 0.5 sen atau 2% kepada 26 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.1 bilion. - DagangNews.com