
KUALA LUMPUR: UMNO Pahang sedang mempertimbangkan tiga bentuk jajaran politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sama ada kerjasama Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN), BN-Pakatan Harapan (PH) atau bergerak secara solo.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketiga-tiga cadangan itu dikemukakan dalam permukiman UMNO Pahang yang turut meneliti jajaran politik paling sesuai untuk negeri berkenaan.
“Di Pahang, kami telah mengadakan permukiman dan antara pengisiannya adalah melihat jajaran politik yang sesuai untuk PRU-16 nanti.
“Ada tiga cadangan dikemukakan, iaitu sama ada BN-PN, BN-PH atau bergerak secara solo. Banyak pertimbangan yang diambil kira,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, Pahang akan menentukan jajaran politik yang sesuai dengan demografi politik negeri itu apabila tiba masanya.
Katanya, keputusan tersebut perlu mengambil kira kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan Pahang. – UTUSAN
The post Pahang pertimbang kerjasama BN-PN, BN-PH atau bergerak solo appeared first on Utusan Malaysia.






