Pendekatan dua hala Khazanah menerusi Dana Impak perkasa syarikat peringkat pertengahan

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendekatan dua hala Khazanah menerusi Dana Impak perkasa syarikat peringkat pertengahan

image is not available

06/08/2025 - 14:28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Khazanah Nasional Bhd menerusi Dana Impak mengukuhkan perananannya dalam menyokong syarikat pertengahan Malaysia (MTC) bersandarkan pendekatan dua hala dalam menyokong pembangunan kapasiti serta memperluaskan akses kepada pertumbuhan modal melalui strategi pembiayaan dan ekuiti swasta.

Inisiatif menyeluruh itu dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 100 MTC tempatan, selaras dengan aspirasi Dana Impak untuk memangkin pertumbuhan MTC berpotensi tinggi agar lebih berdaya saing, menerusi pengukuhan kebolehan, meluaskan akses kepada modal dan membuka peluang kepada pertumbuhan berlandaskan inovasi.

Khazanah melalui Dana Impak melaksanakan strategi pembiayaan swasta yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan MTC tempatan Malaysia melalui modal pembiayaan tanpa pemilikan ekuiti.

"Selaras dengan usaha ini, Khazanah menjalin kerjasama dengan Navis Capital Partners, firma pelaburan swasta ASEAN yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan Granite Asia, firma pelaburan pelbagai aset di Asia, yang menawarkan strategi pembiayaan disesuaikan untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan MTC Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah strategi ekuiti swasta, Khazanah menyasarkan untuk menyokong MTC Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran pengurus dana berpengalaman, khususnya dalam memperluas pasaran, memperkukuh operasi dan mempercepatkan penerokan pasaran serantau.

Sejajar dengan matlamat ini, Khazanah mengumumkan kerjasama bersama Creador, firma ekuiti swasta tempatan yang beroperasi merentas Asia Selatan dan Asia Tenggara yang memiliki rekod prestasi cemerlang dalam menyokong syarikat pada tahap pertumbuhan dalam mempercepatkan peluasan serantau selain memacu pertumbuhan MTC menerusi keupayaan penciptaan nilai.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, melalui Dana Impak, Khazanah berperanan sebagai pemangkin dan penghubung — mengenal pasti jurang pasaran, menyediakan modal bagi bidang yang kurang mendapat perhatian pasaran, melabur dalam bakat tempatan dan berusaha menarik penyertaan pelabur swasta, berdasarkan pendekatan menyeluruh yang menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan mampan.

"Melalui strategi Advancing Malaysia, tumpuan kami untuk memperkasa MTC bukan sahaja memacu daya saing, tetapi juga memperkukuh ketahanan ekonomi negara.

"Kami mengalu-alukan kerjasama rakan strategik dalam merealisasikan potensi penuh MTC Malaysia," katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Mohammad Faiz Azmi, MTC di Malaysia berperanan sebagai enjin pertumbuhan penting yang memperkukuh pengeluaran industri, mencipta peluang pekerjaan, dan merangsang inovasi, di samping menyumbang 36% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Beliau berkata, pihaknya berperanan dalam menyokong MTC tempatan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan pasaran, serta peluang pertumbuhan strategik melalui pasaran modal.

"Kami menghargai inisiatif Khazanah dan menyokong matlamat jangka panjang SC untuk membangunkan ekosistem pembiayaan pasaran modal yang lebih inklusif dan menyeluruh," katanya.

Khazanah menjemput MTC yang layak untuk menyertai kohort baharu MTC Growth Innovation Programme (MGIP) yang dijadualkan bermula pada Suku Ketiga 2025.

Penyertaan terbuka kepada MTC Malaysia milik persendirian yang meraih hasil tahunan antara RM20 juta/RM50 juta hingga RM500 juta (sektor perkhidmatan/pembuatan); memiliki rekod keuntungan dan mempamerkan daya inovasi yang kukuh.

Untuk melihat maklumat lanjut berhubung kriteria penuh dan cara memohon, sila lawati: https://www.khazanah.com.my/our-investments/dana-impak/mid-tiercompanies/. - DagangNews.com

standard