Pendapatan Samaiden diramal naik 20% menerusi projek RE baharu - TA Securities

Business & Finance
1 Aug 2025 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Samaiden diramal naik 20% menerusi projek RE baharu - TA Securities

image is not available

01/08/2025 - 12:43

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kontrak baharu yang dimenangi Samaiden Group Bhd dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) menunjukkan potensi peningkatan sebanyak 20% kepada pendapatan tahunan syarikat serta peningkatan penilaian sebanyak 10% setelah ketiga-tiga projek tersebut beroperasi sepenuhnya.

TA Securities berkata, di bawah bidaan terkini inisiatif Tarif Galakan (FiT) 2.0, Samaiden berjaya memperoleh kontrak bagi membangunkan tiga loji penjanaan tenaga bio baharu dengan jumlah kapasiti kasar sebanyak 18MW.

Tiga kontrak yang dimenangi secara berasingan itu merangkumi pembinaan loji biogas 1.5 megawatt (MW) di Bachok, Kelantan, loji biomas 5.5MW di Tangkak, Johor, dan loji biomas 11MW di Kemaman, Terengganu.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran positif terhadap pendapatan dan penilaian Samaiden adalah berdasarkan kadar pulangan dalaman terkumpul (IRR) satu digit tinggi serta perbelanjaan modal (capex) sekitar RM10 juta bagi setiap MW.

Katanya, ketiga-tiga aset tersebut dijangka mula beroperasi menjelang 25 Julai 2028 dan akan beroperasi di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) RE selama 21 tahun.

Mereka menganggarkan jumlah keseluruhan perbelanjaan modal kasar sebanyak RM171 juta bagi aset FiT yang akan datang.

“Bahagian ekuiti kasar daripada capex yang dianggarkan sebanyak RM34 juta, dijangka dapat ditanggung memandangkan tunai kasar kumpulan bagi tahun kewangan 2027 (FY27) dianggarkan sebanyak RM120 juta,” katanya dalam satu nota kajian.

TA Securities berkata, tiada perubahan akan dibuat terhadap unjuran pendapatan memandangkan aset-aset tersebut hanya mula beroperasi pada tahun kewangan 2029 (FY29).

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM1.38.

“Kami menyukai Samaiden sebagai antara penerima manfaat utama dalam kitaran menaik pembinaan loji RE, yang disokong buku pesanan kukuh, kedudukan tunai bersih yang kuat serta saluran aset RE yang telah dijamin untuk meningkatkan pendapatan berulang,” katanya.

TA Securities berkata, bahawa antara pemangkin utama termasuk projek solar berskala besar fasa kelima (LSS5) dan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah LSS5+ serta Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).

Firma penyelidikan itu turut menambah bahawa kejayaan memperoleh aset penjanaan tenaga di bawah LSS5+ dan CRESS juga merupakan faktor pemangkin kepada pertumbuhan.

Sementara itu, TA Research turut menyatakan risiko yang berpotensi termasuk kenaikan mendadak kos bahan mentah seperti modul solar serta kelewatan dalam pelaksanaan projek. - DagangNews.com

standard