Pemulihan pengeluaran buah tandan segar, HLIB jangka hasil syarikat perladangan naik pada 2QFY25

05/08/2025 - 12:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Syarikat perladangan dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik pada 2QFY25 disokong pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS) serta harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, dari suku tahun ke suku tahun, syarikat perladangan di bawah liputannya diramal mencatat pertumbuhan hasil BTS antara 3.5% hingga 46%, didorong faktor bermusim dan keadaan cuaca yang lebih kondusif.
“Walaupun terdapat peningkatan menyeluruh dalam pengeluaran BTS, prestasi pendapatan segmen huluan dijangka bercampur-campur, kerana pertumbuhan hasil yang dicatatkan oleh beberapa syarikat perladangan (seperti TSH Resources Bhd dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd) tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan harga MSM dari suku tahun ke suku tahun serta kesan penuh kenaikan gaji minimum yang telah dilaksanakan sejak Februari 2025,” katanya dalam satu nota kajian.
Sebaliknya, pendapatan segmen hiliran dijangka menunjukkan peningkatan secara berurutan.
“Ini akan disokong perbezaan cukai eksport dan levi yang semakin kecil antara Malaysia dan Indonesia, serta kos bahan mentah yang lebih rendah, terutamanya bagi MSM dan minyak isirung sawit mentah," katanya.
Secara tahun ke tahun, firma penyelidikan itu menjangkakan syarikat perladangan akan melaporkan pendapatan huluan yang mendatar dalam 2QFY25, kerana peningkatan hasil BTS secara menyeluruh – dalam keadaan harga MSM yang stabil – dijangka diimbangi oleh peningkatan kos buruh susulan pelaksanaan kenaikan gaji minimum.
“Sepanjang suku tersebut, tujuh daripada lapan syarikat perladangan di bawah liputan kami mencatat peningkatan hasil BTS didorong penormalan hasil,” katanya.
HLIB mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2025 dan 2026 masing-masing pada paras RM4,200 setiap tan dan RM4,000 setiap tan.
Katanya, bekalan minyak sayuran yang mencukupi dalam jangka masa terdekat (khususnya MSM dan kacang soya) akan mengehadkan harga MSM dalam tempoh terdekat (berkemungkinan sehingga suku ketiga 2025), sebelum beralih kepada prospek yang lebih positif pada suku keempat 2025.
Sehingga kini, purata harga MSM bagi tahun ini adalah sebanyak RM4,342 setiap tan.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor perladangan kerana ketiadaan pemangkin penarafan semula harga MSM yang signifikan dalam jangka masa terdekat.
Bagi pendedahan pelaburan, pilihan utama mereka dengan saranan “beli” ialah IOI Corp Bhd dengan harga sasaran RM4.12 dan SD Guthrie Bhd dengan harga sasaran RM5.15.
Sementara itu, HLIB telah menghentikan liputan terhadap FGV Holdings Berhad, memandangkan pegangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam FGV telah melebihi ambang minimum 90% dan status penyenaraiannya akan ditarik balik daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Sehubungan itu, unjuran pendapatan kami, harga sasaran RM1.30 dan saranan "pegang" tidak lagi boleh dijadikan rujukan pada masa hadapan,” katanya.- DagangNews.com
standard
