
TAWAU: Pendekatan terhadap isu Ambalat harus memfokuskan kepada nilai pembangunan rakyat dan bukan dijadikan modal polemik politik sempit yang hanya merugikan rakyat tempatan.
Ketua Umno Bahagian Kalabakan Samasuddin Yusop berkata isu Ambalat bukan isu sensasi politik tetapi sebaliknya satu peluang emas yang wajib dimanfaatkan untuk menjana masa hadapan lebih cerah buat masyarakat Kalabakan dan Tawau.
Menurutnya kedudukan Blok Ambalat yang terletak di perairan strategik Laut Sulawesi bersebelahan Kalabakan dan Tawau bukanlah sekadar perbatasan maritim antara dua negara tetapi kini menjadi simbol harapan baharu rakyat di Pantai Timur Sabah.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Justeru beliau menyambut baik usaha diplomasi dua hala antara Perdana Menteri dan Presiden Republik Indonesia untuk meneroka potensi pembangunan bersama di kawasan kaya dengan sumber minyak dan gas itu.
Katanya Umno Kalabakan menyeru supaya sebarang pelaburan atau aktiviti eksplorasi di Ambalat memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan termasuklah peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas, latihan teknikal dan Tvet serta penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri.
“Kami tidak mahu rakyat sekadar menjadi pemerhati. Mereka adalah pemegang kepentingan sah yang mesti diberi tempat dalam sebarang struktur pembangunan dan pentadbiran Ambalat,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut Samasuddin turut menekankan pentingnya Kerajaan Sabah dan wakil rakyat pantai timur dilibatkan secara langsung dalam sebarang rundingan atau pelaksanaan projek pembangunan berkaitan kawasan itu.
Tegasnya pihaknya menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik yang mengukuhkan hubungan serantau namun menolak sebarang bentuk pengabaian terhadap hak Sabah.
“Sebagai langkah proaktif kita mencadangkan penubuhan sebuah Unit Pembangunan Pantai Timur Sabah di bawah agensi seperti Petronas atau Kementerian Ekonomi bagi memastikan limpahan manfaat projek Ambalat sampai ke peringkat akar umbi.
“Kami tidak mahu Sabah khususnya Kalabakan dan Tawau sekadar menjadi laluan keluar hasil negara. Sudah tiba masanya hak dan suara rakyat pantai timur diperkasa,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmen Umno Kalabakan untuk kekal berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan keadilan pembangunan untuk rakyat kawasan tersebut.
“Kami menolak retorik. Kami memilih pendekatan rasional dan strategik demi rakyat Kalabakan, demi Tawau dan demi Sabah secara keseluruhan,” katanya.

