Pendidikan kekal keutamaan Kumpulan Yayasan Sabah: Ketua Menteri

LocalPolitics
30 Sep 2025 • 4:20 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Pendidikan kekal antara sumbangan terbesar Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) sejak penubuhannya, memanfaatkan ribuan anak-anak Sabah dari pelbagai latar belakang melalui bantuan biasiswa, dermasiswa, dan pinjaman pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan terus menyokong usaha ini dengan memperkukuh institusi seperti University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) sebagai landasan melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan berakhlak.

“Hari ini, kita bangga melihat graduan dari institusi-institusi ini yang berasal daripada Zon Pantai Timur Selatan berada di pelbagai sektor seluruh Malaysia dan luar negara.

“Inilah bukti bahawa pelaburan dalam pendidikan ialah pelaburan paling berharga,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif semasa Program Jerayawara Yayasan SabahBersama Rakyat (YSBR) 2025 peringkat Zon Pantai Timur Selatan, di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Isnin. Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan, sekali gus memastikan mereka tidak tercicir dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, KYS turut membuktikan bahawa sektor komersil dan tanggungjawab sosial boleh berjalan seiring melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) dan anak-anak syarikatnya yang lain dalam menjana pulangan bagi membiayai program rakyat negeri ini.

Menurutnya, prestasi yang mampan membolehkan kerajaan mengagihkan keuntungan kepada pendidikan dan kebajikan pembangunan komuniti.

“Inilah ekosistem kebajikan berasaskan hasil, telus, dan berfokus Impak. ICSB mengisytiharkan pembayaran dividen kepada Kumpulan Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri berjumlah RM150 juta pada 2024.

“Ini menjadikannya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kerajaan Negeri yang mengisytiharkan dividen tertinggi untuk empat tahun berturut-turut,” katanya lagi.

Selain itu, Hajiji berkata, entiti KYS berpangkalan di Zon Pantai Timur Selatan seperti Sabah Softwoods Berhad (SSB) dan Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) berperanan sebagai syarikat sauh rantaian nilai agroperladangan di koridor Tawau-Kalabakan.

Katanya, keseluruhannya, SSB dan BWSB menjana hasil dan menyalurkan dividen penting kepada KYS, sekali gus menyokong peranannya dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Inilah contoh perniagaan berasaskan tanggungjawab sosial di mana keuntungan bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk memperkukuh sistem sokongan rakyat.

“Kita sudah melihat peningkatan pelaburan masuk ke Sabah, pembangunan infrastruktur yang giat dilaksanakan, bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat dan peningkatan akses kepada perkhidmatan asas di kawasan luar bandar.

“Semua ini hanya boleh dicapai apabila wujud kestabilan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Menyentuh program itu pula, beliau berkata, JYSBR bukan sekadar karnival atau pameran, sebaliknya merupakan inisiatif menyantuni rakyat secara berstruktur melalui pendekatan Menyantuni, Membimbing, dan Memperkasa.

“Program di Tawau hari ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyantuni rakyat di semua peringkat, dari bandar hingga ke ceruk kampung untuk memahami dan memberi maklum balas keperluan sebenar rakyat,” katanya.