
KUALA LUMPUR — Umno Negeri Sembilan menegaskan pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, adalah muktamad dan tidak akan berubah.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata tindakan itu diambil susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin dalam mengemudi pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan keputusan drastik itu bukan didorong oleh agenda politik, perebutan kuasa atau cubaan ‘tebuk atap’, sebaliknya berkaitan isu urus tadbir yang menyentuh sensitiviti institusi adat dan Raja di negeri berkenaan.
“Ini bukan soal politik atau kuasa, tetapi berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan Raja di Negeri Sembilan.
Umno tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ini demi kepentingan negeri bagi mengelakkan krisis adat menjadi lebih parah,” katanya kepada pemberita selepas berucap di Konvensyen 80 Tahun Umno, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Krisis politik Negeri Sembilan mula tercetus apabila beberapa isu pentadbiran dikaitkan dengan kegagalan kerajaan negeri mengurus hal ehwal adat secara teliti, termasuk keputusan yang dianggap menjejaskan kedudukan institusi Raja.
Ketegangan memuncak apabila 14 Adun BN secara kolektif menarik sokongan terhadap Aminuddin, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan perubahan kepimpinan negeri.
Langkah tersebut dilihat sebagai tamparan besar kepada kerajaan negeri, kerana sokongan BN sebelum ini menjadi tonggak kestabilan pentadbiran.
Situasi ini menambah tekanan terhadap Aminuddin yang kini berdepan cabaran mempertahankan kedudukannya di tengah krisis politik dan adat yang semakin meruncing. - 2 Mei, 2026
The post Pendirian 14 Adun BN Negeri Sembilan tarik sokongan terhadap Aminuddin muktamad: Jalaluddin appeared first on Scoop.




