KUALA LUMPUR-[DIKEMAS KINI] Krisis di Negeri Sembilan tercetus apabila terdapat pihak yang didakwa melanggar ‘garis merah’ berkaitan kedaulatan institusi adat seperti yang dipersetujui dalam kerjasama politik.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dalam kerjasama diantara Barisan Nasonal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO-BN telah mengemukakan 10 perkara untuk menjadi asas dalam perjanjian tersebut.
"Daripada 10 perkara tersebut, dua perkara menjadi asas kepada tindakan UMNO Negeri Sembilan iaitu kedaulatan Perlembagaan dengan menjunjung peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Islam sebagai agama Persekutuan.
"Perkara kedua ialah hak Bumiputera dan Raja-Raja dengan memelihara hak keistimewaan Melayu/Bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
"Perjanjian ini adalah ibarat garis merah yang ditetapkan oleh kedua-dua parti dan jika mana-mana pihak melanggar garis merah tersebut, ianya dilihat mencabar perjanjian ini," katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 tahun UMNO di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut beliau berkata, krisis berkenaan bermula diantara Undang Yang Empat dan juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, prinsip UMNO cukup jelas iaitu UMNO hormat dan cukup memahami garis pemisah di antara badan eksekutif dan juga institusi adat.
"Sebab itu UMNO marah apabila Menteri Besar mencampuri urusan adat, gagal menangani krisis dengan baik dan mengambil mudah perkara yang berlaku sehingga menyebabkan pemecatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berlaku.
“Apabila institusi disentuh, apabila adat dipersoalkan dan garis merah dilanggar, apakah kita harus berdiam diri?” katanya.
Tambahnya, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat selepas menilai situasi secara menyeluruh termasuk pandangan akar umbi.
Katanya, rakyat khususnya di negeri itu mempersoalkan pendirian UMNO apabila isu institusi adat menjadi perdebatan terbuka sehingga mencetuskan kekeliruan.
"UMNO bukan minta kerajaan untuk campur tangan, tapi UMNO berpendapat kerajaan tidak boleh berdiam diri. Menteri Besar perlu menjadi jambatan untuk menyatukan institusi adat ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh 80 tahun ini, pelbagai zaman dah dilalui, pelbagai pemimpin dah bertukar ganti, namun prinsip perjuangan UMNO tidak pernah berubah.
"Tiga teras yang menjadi pasak dan tiang seri UMNO sepanjang tempoh 80 tahun ini adalah, agama: Islam sebagai asas perjuangan, bangsa: penjaga hak dan kepentingan Melayu/Bumiputera dan tanah air: pelindung kedaulatan dan kemajuan Malaysia.
"Salah satu cabaran utama apabila UMNO sudah tidak dominan dan terpaksa menjalinkan kerjasama dengan parti lain adalah untuk terus teguh mempertahankan 3 prinsip utama ini," katanya.





