
MANCHESTER – Manchester United terpaksa berdepan satu lagi halangan dalam usaha mendapatkan bek kiri baharu apabila pemain Barcelona, Alejandro Balde dilaporkan tidak berminat meninggalkan Camp Nou pada jendela perpindahan musim panas ini.
United mula mengalihkan perhatian kepada Balde selepas sasaran utama mereka, Lewis Hall disahkan kekal bersama Newcastle United yang enggan mempertimbangkan sebarang tawaran untuk pemain berusia 21 tahun itu.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan United sudah menghubungi ejen Balde, Jorge Mendes bagi mendapatkan gambaran mengenai situasi pemain antarabangsa Sepanyol tersebut bersama Barcelona.
“Manchester United menghubungi Jorge Mendes, ejen Alejandro Balde untuk memahami situasi bek kiri Sepanyol itu di Barcelona.
“Barcelona dan Balde mempunyai hubungan yang sangat baik. Balde merupakan pemain yang dibesarkan di Barcelona dan pada dasarnya, dia tidak mahu meninggalkan kelab,” katanya.
Bagaimanapun, Romano tidak menolak kemungkinan situasi tersebut boleh berubah sekiranya United benar-benar serius membuat tawaran, meskipun perpindahan Balde dijangka menelan kos tinggi berbanding beberapa pilihan lain.
United menjadikan posisi bek kiri sebagai antara keutamaan untuk diperkuatkan bagi menyediakan persaingan kepada Luke Shaw selain mencari pengganti jangka panjang pemain England tersebut.
Selain Balde, The Red Devils turut dikaitkan dengan Joaquin Seys dari Club Brugge dan pemain Racing Santander, Jorge Salinas sekiranya usaha membawa pemain berusia 22 tahun itu ke Old Trafford menemui jalan buntu. – AGENSI
The post Pendirian Balde kecewakan United appeared first on Kosmo Digital.






