
LONDON – Chelsea menetapkan harga ‘mati’ £120 juta (RM676 juta) sebelum melepaskan bintang Argentina, Enzo Fernandez yang berhasrat untuk menyertai Manchester City sebelum jendela perpindahan ditutup pada bulan ini.
Difahamkan, The Blues turut menggesa pengurusan City mengemukakan tawaran rasmi secepat mungkin selepas Fernandez terdesak untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan pengendali baharu mereka, Enzo Maresca.
Maresca difahamkan mahu membawa semula Fernandez ke Etihad selepas pernah bekerja dengannya selama 18 bulan di Stamford Bridge.
Malah, City semakin terdesak selepas Rodri dijangka meninggalkan kelab untuk menyertai Barcelona manakala Tijjani Reijnders pula bakal menyertai kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah dengan nilai sekitar £52 juta (RM293 juta).
Bagaimanapun, City masih belum membuat keputusan sama ada mahu memenuhi tuntutan Chelsea yang dianggap tinggi.
Dalam usaha memperkuatkan skuad, City sebelum ini sudah memecahkan rekod perpindahan kelab dengan membayar £116 juta (RM654 juta) untuk mendapatkan Elliot Anderson dan turut mengintai bintang muda Lille, Ayyoub Bouaddi yang dinilai sekitar £100 juta (RM564 juta).
Di posisi sayap pula, Savinho dilaporkan mahu berpindah ke Tottenham Hotspur dengan pengurusan lawan masih berusaha mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu dengan harga sekitar £70 juta (RM395 juta).
Sebelum ini, City sudah kehilangan tonggak berpengalaman, Bernardo Silva secara percuma selepas menyertai Real Madrid bulan lalu. – AGENSI
The post EPL: Harga ‘mati’ lepaskan Fernandez appeared first on Kosmo Digital.





