Penduduk Bukit Damansara Disindir, Netizen Mahu Pembangunan Menara 60 Tingkat Diteruskan

6 Oct 2025 • 5:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Dalam mengejar kemajuan, negara dilihat semakin banyak mendirikan bangunan-bangunan pencakar langit.

Bukan sahaja menelan belanja ekonomi, malah pembinaan sedemikian juga datang dengan kos sosial apabila terdapat kawasan yang perlu ‘dikorbankan’ demi memberi laluan kepada pembangunan besar.

Namun satu protes yang diadakan baru-baru ini tidak menerima sokongan orang ramai yang sebaliknya meminta agar pemaju meneruskan pembangunan.

Penduduk Bukit Damansara Bantah Pembinaan Menara 60 Tingkat

Pada Sabtu lalu (4 Oktober), sekitar 200 penduduk Bukit Damansara telah mengadakan satu protes bagi membantah projek baharu yang digelar sebagai pembangunan ‘gergasi’ di kawasan terbabit.

Ada di antara mereka yang dilihat memegang kertas yang tertulis “Save Bukit Damansara” dan “No more skyscrapers”.

Turut terlibat dalam protes itu adalah beberapa figura terkenal seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan, penyanyi Datuk Sheila Majid dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Difahamkan projek pembangunan semula itu mencadangkan pembinaan dua pencakar langit 60-tingkat di atas tiga lot di Jalan Semantan yang kini menempatkan Wisma Damansara.

Memetik laporan MalayMail, projek ini mencadangkan nisbah plot 1:9.6 yang jauh melebihi had 1:6 ditetapkan di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL) yang baru sahaja diwartakan pada pertengahan Jun lalu.

KJ Persoal Jika DBKL Telah Jalankan Kajian Lalu Lintas

Sebagai salah seorang yang telah lama menetap di sana, Khairy mempersoalkan sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan kajian lalu lintas di Jalan Semantan yang sudahpun amat sesak.

“Sebagai perbandingan, Menara Berkembar Petronas ada 88 tingkat. Pembangunan baharu ini akan hampir sama tinggi. Boleh anda bayangkan tekanan di Jalan Semantan, yang memang sudah sesak?

“Saya mahu bertanya DBKL sendiri, adakah kajian lalu lintas telah dijalankan di Jalan Semantan untuk membenarkan nisbah plot yang diberi kepada BRDB Developments Sdn Bhd (BRDB)?

“Adakah BRDB telah menyerahkan laporan impak lalu lintas? Berapa banyak lagi yang jalan ini boleh terima?” katanya.

Tambah Khairy lagi, Lebuhraya Sprint juga sudah melintasi Bukit Damansara dan menegaskan bahawa protes itu bukan sahaja demi perlindungan kawasan kejiranan itu, tetapi juga buat ribuan pengguna jalan raya antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Penduduk Mahu Pembangunan Yang Sesuai Dengan Kapasiti Kawasan

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Rumah Bukit Damansara Datuk Ahmad Sufian Abdul Majid, berasa kesal dengan magnitud projek yang dicadangkan itu.

Dia turut memberi amaran bahawa pelan pembangunan tersebut seolah-olah melebihi apa yang boleh ditampung oleh kawasan berkenaan dan menggesa DBKL agar memeriksa semula kelulusan yang diberikan.

Tambahnya lagi, penduduk tidak menentang perkembangan tetapi mahukan pembangunan yang bersesuaian dengan kapasiti kejiranan itu.

Ahmad Sufian menegaskan walaupun kafe baharu, rumah kedai diubah suai dan projek kecil dialu-alukan, pembangunan pencakar langit berskala besar akan melampaui kapasiti infrastruktur tempatan.

Ramai Rasa Geli Hati Dengan Protes Terhadap Pembangunan Di Bukit Damansara

Menjenguk ke ruangan komen di Facebook, orang ramai berasa geli hati dengan protes yang dijalankan oleh kejiranan mewah itu terhadap pembangunan pencakar langit.

Mereka merasakan keadaan itu ironik apabila pemilik hartanah di kejiranan mewah menentang pembangunan, apatah lagi jika dibandingkan dengan kawasan pedalaman di mana penduduk kebiasaannya hanya diberi pampasan kecil apabila pembangunan dijalankan.

“Masalah Kg Baru deme diam. Kena batang hidung sendiri baru tau tak duduk diam,” kata seorang individu.

“Orang kaya pun menolak kemajuan dan pembangunan rupanya,” seloroh seorang lagi.

Ada juga yang berjenaka bahawa mereka pasti pergi ke ‘fine dining’ selepas mengadakan protes tersebut.

image is not available

image is not available
Sumber: Facebook

Dr Maszlee Seloroh Teori Marx Telah Disangkalkan

Sentimen sama dapat disaksikan juga di platform X yang mana ramai pengguna mendesak pembangunan pencakar langit di Jalan Semantan itu agar diteruskan.

Mereka turut menyifatkan ‘penduduk T20’ di Bukit Damansara sebagai tidak memahami keadaan golongan marhaen yang berdepan perkara serupa.

“Tapi bila orang kaya bina pencakar langit di tempat orang bergaji rendah, tak apa? Persetan kan je. Teruskan pembangunan tu,” kata seorang warganet.

Malah bekas Menteri Pendidikan Prof Dr Maszlee Malik, bersama-sama berseloroh protes yang dilakukan golongan elit bourgeoisie itu menyangkal teori Karl Marx bahawa hanya golongan pekerja (proletariat) yang menentang eksploitasi para kapitalis.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available