Penduduk Ijok menderita akibat banjir termenung - ADUN

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk Ijok menderita akibat banjir termenung - ADUN
Jefri membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2027 semasa Sidang DUN Selangor di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Seramai 1,208 mangsa banjir daripada 322 keluarga di kawasan Ijok, Kuala Selangor masih berlindung di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka ditenggelami banjir termenung sejak 5 November lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, keadaan banjir yang berlarutan hingga 12 hari itu menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dalam tempoh panjang.

Menurutnya, enam PPS masih beroperasi di daerah Kuala Selangor membabitkan dua PPS di Mukim Ijok dan empat lagi di Mukim Jeram.

"Banjir di Ijok bukan hanya berpunca daripada hujan setempat, sebaliknya turut menerima aliran air dari kawasan hulu termasuk daerah Gombak dan Petaling," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Jefri memberitahu, aliran air dari Paya Jaras, Sungai Buloh serta kawasan pembangunan sekitar Puncak Alam turut melalui sistem lembangan sungai sama sebelum menuju ke hilir di kawasan Ijok.

"Maknanya banjir kilat di tempat lain tetapi kesannya turut ditanggung rakyat di Kampung Ijok, Kampung Parit Mahang, Kampung Bukit Cerakah, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching dan kawasan sekitarnya.

"Sekarang ini semua sudah tidak selamat, duduk atas bukit pun kena banjir bukan satu atau dua hari, tetapi banjir termenung sehingga 12 hari," tegas beliau.

Jefri memberitahu, penduduk bukan sahaja berdepan kerosakan harta benda dan perabot, malah pekebun turut mengalami kerugian apabila tanaman ditenggelami air.

Lebih membimbangkan katanya, penduduk belum sempat bangkit daripada kerugian dialami, namun sudah dihantui kebimbangan kejadian banjir berulang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan mekanisme perkongsian tanggungjawab dan pembiayaan antara kerajaan negeri, agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam lembangan sungai sama.

Katanya, mekanisme itu perlu merangkumi kos membaik pulih infrastruktur awam, bantuan pampasan kepada penduduk yang kehilangan harta benda, tanaman dan sumber pendapatan serta perbelanjaan pembersihan dan pemulihan selepas bencana.

"Janganlah hasil pembangunan dinikmati di kawasan hulu sedangkan kami di hilir terus menanggung kerugiannya.

"Kaedah perkongsian kos ini hendaklah dinilai secara adil berdasarkan data aliran air, kesan pembangunan dan bidang kuasa pihak berkaitan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Jefri turut mempersoalkan kecukupan peruntukan mitigasi banjir dalam Belanjawan Selangor 2027 khususnya RM36.45 juta bagi 47 projek tempatan banjir.

Beliau berkata, projek menaik taraf sistem saliran utama Kampung Bukit Hijau sahaja dianggarkan menelan kos RM95 juta.

"Saya meminta kerajaan negeri menjelaskan status pelaksanaan serta peruntukan disediakan bagi 2027," tambah beliau.

Beliau turut membangkitkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 yang mempunyai anggaran permohonan asal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak RM854.96 juta, namun hanya RM44 juta diluluskan menerusi Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Kerajaan negeri dicadangkan menyediakan peruntukan tambahan secara bersasar bagi kawasan titik panas banjir, melaksanakan penyelesaian segera serta mempergiat rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi pembiayaan projek berskala besar," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved