
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan satu pasukan khas melibatkan semua agensi penguatkuasaan akan ditubuhkan bagi menangani isu mafia korporat.
Jelas beliau, satu laporan komprehensif perlu disiapkan dalam tempoh masa tiga bulan sebelum didedahkan kepada umum.
Ia penting agar orang ramai tidak mengganggap perkara itu sebagai tidak telus atau percaya ada pihak tertentu yang dilindungi.
Kerajaan Dicadang Lantik Mohd Shuhaily Sebagai Anggota Pasukan Khas Siasat Isu Mafia Korporat
Terbaharu, kerajaan dicadang untuk melantik Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai anggota pasukan khas dalam bagi menyiasat berhubung isu kegiatan mafia korporat itu.
Perkara itu diusulkan oleh Ahli Parlimen (MP) Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini (2 November).
Peruntukan Operasi Pasukan Petugas Khas Tak Libat Kos Besar, Tak Perlu Pertambahan Anggota Dari AGC
Jelas Wan Ahmad Fayhsal, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira pengalaman luas Mohd Shuhaily termasuklah ketika beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam bidang penguatkuasaan selain menyifatkan pelantikan itu mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
“Memandangkan Mohd Shuhaily sudah dipindahkan daripada AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.
“Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN,” katanya.
Tambah Wan Ahmad Fahysal, peruntukan operasi bagi pasukan khas itu dijangka tidak melibatkan kos besar selain turut tidak memerlukan pertambahan anggota dari Pejabat Peguam Negara.
Turut Minta Kerajaan Tak Ketepi Pegawai Yang Ada Rekod Baik
Pada masa sama, dia turut meminta kerajaan untuk tidak mengetepikan pegawai awam yang mempunyai rekod baik dalam usaha untuk membanteras rasuah.
“Jangan aniaya pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang dalam melawan rasuah. Sebab itu yang dijanjikan oleh Tambun (Anwar) iaitu sakau, sakau, sakau.
“Namun, apabila membabitkan tindakan, ia tidak selari dengan apa yang dijanjikan.
“Jadi, saya minta Pengerusi (Dewan Rakyat) supaya cadangan kami diterima oleh Kerajaan MADANI kerana kita sama-sama ingin melawan rasuah,” katanya.
Anwar sebelum ini mendedahkan pasukan petugas khas yang diketuai Peguam Negara bagi menyiasat isu mafia korporat terdiri daripada agensi seperti:
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Bank Negara Malaysia (BNM)
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
- Pasukan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan Mohd Shuhaily dikembalikan ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran keputusan kerajaan menamatkan penempatannya secara pinjaman di AKPS.
Jelas Saifuddin, Mohd Shuhaily merupakan pegawai kanan polis yang telah ditempatkan secara pinjaman di AKPS sebelum keputusan untuk mengembalikannya ke PDRM telah dibuat.
Baca Artikel Berkaitan: Mohd Shuhaily Kembali Ke PDRM, Penempatan Secara Pinjaman Di AKPS Ditamatkan – Menteri KDN
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Bukan Mr R” – MP PKR, Ramanan Nafi Terima RM9.5 Juta






