Penduduk Kampung Melayu Lima Kedai dinasihatkan berhati-hati

28 May 2024 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Kumarasan)

ISKANDAR PUTERI - Polis menasihati penduduk Kampung Melayu Lima Kedai yang tinggal berhampiran Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman dekat sini agar berhati-hati susulan insiden kebakaran kilang cat di kawasan berkenaan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, biarpun api sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya, namun pihak bomba masih menjalankan siasatan di kawasan berkenaan.

"Kita nasihatkan walaupun api dah padam, penduduk diharap berhati-hati sebab kita pun tak tahu apa akan terjadi.

"Pihak bomba akan jalankan siasatan dan kita tunggu kenyataan daripada mereka. Semalam pun ada letupan di tempat kejadian, tetapi dapat dikawal oleh pihak bomba," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung insiden kebakaran sebuah kilang cat yang berlaku di Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman pada Isnin.

Untuk rekod seramai 50 anggota bomba dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat bagi memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.

Kelima-lima lima BBP tersebut ialah BBP Iskandar Puteri, Larkin, Pontian, Kota Tinggi termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Senai dan Kulai Besar.

Sementara itu, Kumarasan berkata, pihaknya akan menunggu laporan daripada pihak forensik bagi mengetahui sama ada insiden kebakaran tersebut ada kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

"Kita akan tunggu laporan daripada pihak Forensik dan biasanya dalam masa seminggu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!