Penduduk mohon bantuan atasi pencerobohan gajah liar

LocalEnvironment
4 Aug 2026 • 1:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Penduduk mohon bantuan atasi pencerobohan gajah liar

KINABATANGAN: Penduduk kampung di Mukim Batu Puteh, di sini, memohon bantuan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah pencerobohan gajah liar di tiga kampung dalam mukim itu, yang berlaku sejak 25 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi Mukim Batu Puteh, Azman Amirbek, berkata kehadiran gajah liar yang berulang kali memasuki kawasan kampung turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya pada waktu malam.

Perkara itu juga mendatangkan kebimbangan kepada keselamatan penduduk kampung, tanaman dan harta benda serta pendapatan penduduk yang bergantung kepada hasil pertanian.

Tiga kampung tersebut ialah Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Kampung Batu Puteh dan Kampung Manggaris, kata Azman dalam kenyataan pada Isnin.

Penduduk juga percaya kehadiran gajah liar itu disebabkan pondok kawalan dan pagar penghalang yang telah usang dan tidak lagi berfungsi.

Justeru, beliau menggesa pihak berwajib menyelenggara sistem litar elektrik TRC Fence, khususnya di simpang masuk laluan utama ke kawasan kampung, iaitu lokasi yang sering menjadi laluan gajah liar itu.

Penduduk berharap agar usaha penambahbaikan kemudahan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera bagi meningkatkan keberkesanan kawalan dan mengurangkan risiko gajah itu memasuki kawasan penempatan.

Pagar penghalang itu dipasang menerusi sumbangan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) beberapa tahun lepas dengan kerjasama orang kampung tetapi kini telah usang dan memerlukan penambahbaikan.

Azman turut menggesa NGO, syarikat swasta, kepimpinan masyarakat serta semua jabatan berkaitan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk terjejas.

Dalam masa yang sama, beliau juga merakam penghargaan kepada  Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan atas komitmen berterusan dalam menjalankan operasi menghalau gajah liar ke habitatnya.

Ujarnya, keselamatan penduduk, perlindungan harta benda dan pemuliharaan hidupan liar sewajarnya bergerak seiring.

“Diharapkan usaha ini dapat diperkukuhkan agar gajah dapat terus diarahkan kembali ke habitat asalnya secara selamat dan dalam masa yang sama menjaga kelestarian hidupan liar dan sentiasa dipelihara sambil memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved