KUALA LUMPUR – Seramai 85 warga asing ditahan selepas kawasan penempatan di sekitar Jalan Chow Kit, di sini digempur dalam operasi penguatkuasaan bersasar pada Selasa.
Operasi yang bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dilaksanakan susulan risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mendapati kawasan berkenaan mempunyai rekod kehadiran serta kepadatan warga asing yang tinggi.
Operasi bersepadu itu membabitkan seramai 52 pegawai penguat kuasa imigresen.
Imigresen dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pemeriksaan dilakukan terhadap 178 individu sebelum 85 warga asing berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Daripada jumlah yang ditahan tersebut, 68 adalah lelaki dan 17 wanita. Warga Indonesia mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 41 individu termasuk 16 wanita.
"Turut ditahan 24 lelaki warga India, 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga Pakistan serta seorang perempuan warga Myanmar," katanya.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa di negara ini, melanggar syarat pas yang dikeluarkan serta memiliki kad pengenalan diri yang tidak diiktiraf.
"Kesemua 85 warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang.
"Dalam operasi sama, tiada Borang 29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada warga tempatan," katanya.
Imigresen menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), khususnya di sekitar ibu negara.
"Tindakan itu adalah bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara," katanya.






