Enggan buka pintu, warga asing cuba menyorok ketika diserbu Imigresen

11 Aug 2026 • 10:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enggan buka pintu, warga asing cuba menyorok ketika diserbu Imigresen

BUTTERWORTH : Bimbang dicekup, beberapa warga asing hanya mendiamkan diri walaupun pintu rumah mereka telah diketuk berkali-kali, malah, ada yang cuba menyorok bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Itu antara situasi yang terpaksa dihadapi oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang ketika menyerbu sebuah pangsapuri di Perai di sini, malam tadi.

Disebabkan situasi itu juga, pihak Imigresen terpaksa memecahkan jeriji dan pintu rumah untuk masuk selepas gagal mendapatkan kerjasama daripada penghuni ketika kejadian.

Difahamkan, operasi tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat berhubung tingkah laku warga asing yang didakwa menimbulkan kegusaran, termasuk dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral di beberapa unit kediaman di kawasan terbabit.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, walaupun warga asing sudah lama menyewa di situ, namun, aktiviti tidak bermoral itu baru sahaja berlaku baru-baru ini sehingga membimbangkan penduduk.

“Cara pemakaian dan keadaan lelaki yang keluar masuk ke rumah tertentu membuatkan kami tertanya-tanya. Sebagai penduduk, kami hanya boleh mengesyaki ada perkara yang tidak kena sedang berlaku.

“Kebiasaannya, warga asing yang menyewa di sini akan tinggal beramai-ramai. Tetapi, apabila satu rumah hanya didiami dua atau tiga orang dan kerap menerima kunjungan lelaki berbeza, memang ia menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya ketika ditemui di sini.

Image from: Enggan buka pintu, warga asing cuba menyorok ketika diserbu Imigresen
ANGGOTA JIM Pulau Pinang terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memecah masuk ke dalam sebuah rumah yang dipercayai disewa oleh warga asing untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral di Perai, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD

Sementara itu, JIM Pulau Pinang memaklumkan, seramai 71 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan yang dijalankan di 20 lokasi berasingan bermula semalam dengan 24 daripada mereka merupakan warga asing dari Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, kesemua tahanan yang berusia antara 19 hingga 49 tahun termasuk enam wanita itu kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi untuk siasatan dan tindakan lanjut.-UTUSAN

The post Enggan buka pintu, warga asing cuba menyorok ketika diserbu Imigresen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved