
KUALA LUMPUR - Sebuah bangunan setinggi lima tingkat yang menjadi penempatan haram komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat dirobohkan secara berperingkat mulai hari ini.
Ketua Kampung Sungai Makau, Karen Chong, 48, mengesahkan kerja-kerja perobohan bermula pada jam 11 pagi tadi dan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk siap sepenuhnya.
Menurut beliau, keseluruhan kos perobohan ditanggung pemilik bangunan yang tampil mengambil tanggungjawab penuh, selepas penempatan berkenaan mendapat perhatian meluas orang ramai.
Tindakan penguatkuasaan tersebut dibuat susulan tinjauan baru-baru ini, yang mendapati flat empat tingkat di kawasan tersorok di pedalaman Sungai Tekali itu telah ditinggalkan secara tergesa-gesa oleh penghuninya.
Sebahagian besar unit dalam bangunan usang itu didapati berkunci, menunjukkan penghuni telah berpindah ke lokasi lain sejurus selepas rakaman video penempatan berkenaan tular di media sosial tiga hari lalu.
Laporan Buletin TV3 sebelum ini mendedahkan keadaan struktur kompleks berkenaan yang membimbangkan, dengab blok bangunan empat tingkat itu dilihat berada dalam keadaan uzur.
Koridor bangunan hanya ditutup menggunakan bumbung zink, manakala dinding dibuat menggunakan batu-bata terdedah tanpa kemasan plaster atau simen yang sempurna.
Selain itu, bangunan terbabit turut didapati menggunakan bekalan paip air dan pendawaian elektrik sementara yang berselirat serta mencurigakan.
Tinjauan turut mendapati kawasan itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal, malah telah berkembang menjadi sebuah ekonomi mikro yang mampu beroperasi sendiri untuk komuniti Rohingya setempat.
Tingkat bawah bangunan utama menempatkan sebuah kemudahan pemprosesan kopi, manakala di bahagian belakang kawasan tersebut terdapat bengkel mekanikal, depot parkir lori serta sebuah kedai makan kecil.
Peralatan memasak di premis berkenaan juga didapati ditinggalkan secara tergesa-gesa walaupun bekalan elektrik utama masih aktif ketika pemeriksaan dijalankan. - Getaran, 13 Jun 2026






