Penempatan haram Rohingya di Hulu Langat dirobohkan

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penempatan haram Rohingya di Hulu Langat dirobohkan
Tangkap layar video dikongsikan Johan menunjukkan sebuah jengkaut sedang melakukan kerja merobohkan penempatan haram di Sungai Tekali, Hulu Langat.
Image from: Penempatan haram Rohingya di Hulu Langat dirobohkan
Timbunan runtuhan konkrit, kepingan zink dan bahan binaan lain memenuhi kawasan sekitar lokasi. Foto: Facebook Datuk Wira Johan Abd Aziz

SHAH ALAM – Sebuah operasi perobohan dipercayai membabitkan penempatan haram yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat, mula dilaksanakan pada Sabtu.

Perkembangan terkini mengenai penempatan haram terbabit didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.

Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, beliau memaklumkan perobohan struktur bangunan terbabit dilaksanakan sendiri oleh pemilik tanah.

Dalam hantaran video tersebut, beberapa struktur bangunan yang dibina di kawasan berkenaan telah dirobohkan, dipercayai menggunakan jentera berat.

Video berdurasi satu minit 14 saat itu turut memaparkan sebuah bangunan dua tingkat yang mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian besar strukturnya dirobohkan.

Turut kelihatan timbunan runtuhan konkrit, kepingan zink dan bahan binaan lain memenuhi kawasan sekitar lokasi.

**media[3549959]**

Dalam rakaman yang sama, sebuah jengkaut dilihat menjalankan kerja-kerja merobohkan baki struktur bangunan yang masih berdiri.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan flat warga asing yang tular dikaitkan dengan etnik Rohingya di Sungai Tekali kini lengang selepas kewujudan penempatan haram terbabit tular di media sosial.

Pada Selasa, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan, termasuk mengeluarkan notis terhadap struktur binaan yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan itu.

Menurut MPKj, pihaknya telah menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan serta mengeluarkan notis dan arahan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

MPKj turut memaklumkan bahawa semakan mendapati pembinaan berkenaan membabitkan Lot 217, Lot 218 dan sebahagian tanah kerajaan (rizab sungai) yang terletak bersebelahan Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat.

Menurutnya, berdasarkan Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035 (Pengubahan 2), tapak berkenaan dizonkan untuk kegunaan perumahan.

Selain itu, tiada sebarang permohonan dikemukakan menerusi Sistem One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus Online MPKj yang membabitkan Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur dan Pelan Bangunan bagi sebarang pembinaan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, tular video yang memaparkan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, mendedahkan kewujudan sebuah flat empat tingkat yang mencurigakan dan dipercayai didiami komuniti Rohingya di kawasan tersebut.